Kesetiaan diragui, PKR Ampang desak Rodziah letak jawatan

Kesetiaan diragui, PKR Ampang desak Rodziah letak jawatan

Timbalan ketua PKR Ampang berkata, cabang itu pandang serius sebarang gerakan politik yang didakwa boleh melemahkan parti dari dalam.

rodziah ismail
Rodziah Ismail antara Ahli Parlimen PKR yang hadir dan bergambar bersama bekas timbalan presiden Rafizi Ramli dan bekas naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad ketika sidang media umum hala tuju politik baharu mereka.
PETALING JAYA:
PKR Ampang secara terbuka mendesak Ahli Parlimen kawasan itu Rodziah Ismail meletak jawatan kerana didakwa tidak lagi mencerminkan kesetiaan kepada perjuangan serta kepimpinan parti.

Timbalan Ketua PKR Ampang Daing Muhammad Reduan Bachok berkata, pihaknya memandang serius sebarang gerakan politik yang didakwa boleh melemahkan parti dari dalam, serta mengkhianati mandat rakyat yang diberikan kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) pada PRU lepas.

Katanya, mandat rakyat di Ampang diberikan atas dasar keyakinan terhadap agenda reformasi yang dipimpin Perdana Menteri merangkap Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Rakyat Ampang memberikan mandat kepada PKR dan PH bukan untuk melihat parti dirosakkan oleh permainan politik dalaman, percaturan kelompok, atau tindakan mana-mana individu yang gagal mempertahankan kesetiaan kepada perjuangan parti.

“Mandat ini lahir daripada pengorbanan akar umbi, kesetiaan anggota parti dan keyakinan rakyat terhadap agenda reformasi yang dipimpin oleh Anwar,” katanya dalam kenyataan.

Ahad lepas, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan membincangkan tindakan terhadap beberapa Ahli Parlimennya yang hadir dan bergambar bersama bekas timbalan presiden Rafizi Ramli dan bekas naib presiden Nik Nazmi Nik Ahmad ketika sidang media mengumumkan hala tuju politik baharu mereka.

Pada majlis tersebut, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada PKR serta mengosongkan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa berkuat kuasa hari ini.

Antara Ahli Parlimen PKR dilihat hadir termasuk Rodziah, Wong Chen (Subang), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).

Dalam pada itu, Daing mendakwa tindakan dan pendirian Rodziah kebelakangan ini mencetuskan keresahan dalam kalangan ahli serta penyokong parti di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, dalam keadaan parti berdepan pelbagai cabaran politik, tindakan yang dilihat semakin menjauh daripada pendirian serta kepimpinan utama parti hanya menguatkan persepsi wujud usaha melemahkan perjuangan dari dalam.

“PKR dibina atas prinsip, pengorbanan perjuangan, dan kesetiaan terhadap agenda Reformasi yang dipertahankan sejak sekian lama,” katanya.

“Oleh itu, sebarang tindakan yang menggugat kesatuan parti, melemahkan keyakinan rakyat, atau bercanggah dengan semangat perjuangan Reformasi tidak boleh diterima dan amat mendukacitakan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.