Keputusan mohon sijil halal wajib diberi dalam 30 hari, kata TPM

Keputusan mohon sijil halal wajib diberi dalam 30 hari, kata TPM

Zahid Hamidi berkata ada rungutan mendakwa proses permohonan itu mengambil tempoh sembilan bulan hingga dua tahun, malah ada yang lebih dua tahun.

Zahid Hamidi melawat ruang Pameran Halal Antarabangsa Malaysia 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keputusan bagi setiap permohonan sijil halal wajib diberikan dalam tempoh 30 hari bekerja dan tiada alasan untuk dilewatkan, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Katanya, beliau ada mendengar rungutan mendakwa proses permohonan itu mengambil tempoh dari sembilan bulan sehingga dua tahun, malah ada yang hanya mendapat maklum balas permohonan tidak diluluskan selepas dua tahun.

“Laporan yang saya terima daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) memperlihatkan mereka mengambil beberapa langkah proaktif dan keputusan kelulusannya telah dipercepatkan. Maklumat itu mungkin hanya maklumat di atas kertas, tetapi di luar sana masih terdapat rungutan.

“Harus ada kelangsungan di antara proses memperbaiki dan mempercepatkan pengeluaran sijil itu,” katanya dalam ucaptama majlis Halal Sector Forum 2023.

Menteri kemajuan desa dan wilayah itu juga mahu bengkel pensijilan halal diadakan tiga kali setahun bagi menyegerakan pengeluaran sijil halal kepada pemohon baharu dan mereka yang ingin memperbaharui sijil.

Pada masa sama, beliau berkata prosedur bagi memperolehi sijil halal juga perlu dipermudahkan supaya tidak menyusahkan pemohon dan perkara itu boleh dilakukan jika ada kerjasama antara kumpulan agama, pakar serta pemain industri halal.

“Kita harus keluar daripada kepompong bekerja secara silo,” katanya.

Sementara itu, Zahid berkata bagi menentukan pembaharuan pensijilan halal, Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menawarkan kursus dengan silibus berdasarkan cadangan Jakim, khususnya dalam bidang halal.

Menerusi inisiatif itu, beliau berkata Mara melalui Giatmara dan beberapa TVET lain diminta menghasilkan lebih ramai juruaudit halal dalam industri mengeluarkan produk halal.

Malah, katanya Universiti Kuala Lumpur turut mewujudkan kursus berkaitan industri halal di peringkat ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

“Maka, saya minta syarikat multinasional serta syarikat besar, terutama produk berasaskan eksport atau pekilang harus mengambil juruaudit halal bagi menentukan piawaian dan tatacara halal ini dapat diikuti berdasarkan khidmat nasihat dan pandangan profesional juruaudit ini.

“Dalam hal ini, saya ingin mencadangkan berdasarkan saranan perdana menteri bahawa langkah sinergi harus dilakukan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Halal Development Corporation Berhad, Jakim, Jabatan Standard Malaysia dan Mara agar penyelarasan dapat dilakukan segera.

Beliau memberi tempoh hingga 3 Okt ini untuk melaksanakan usaha itu sebelum mempengerusikan Majlis Pembangunan Halal Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.