
Di Kedah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 177 orang daripada 51 keluarga berbanding 123 orang daripada 36 keluarga tengah hari tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Suhaimi Mohd Zain berkata satu lagi PPS baharu dibuka di daerah Kubang Pasu.
“PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang, Changlun yang dibuka pada 2.30 petang tadi menempatkan 27 orang daripada lapan keluarga manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun yang dibuka semalam menempatkan 150 orang daripada 43 keluarga.
“Semua mangsa yang ditempatkan di dua PPS ini adalah dari Mukim Temin yang melibatkan Kampung Nangmah, Kampung Paya Nong Mi, Kampung Paya Lantau, Kampung Beru, Kampung Kubang Kayu dan Kampung Bendang Tok Leh,” menurutnya dalam kenyataan.
Suhaimi berkata hujan sudah berhenti sejak petang tadi dan keadaan cuaca buat masa ini masih mendung.
Perlis turut menyaksikan satu lagi PPS dibuka di Dewan Sekolah Kebangsaan Arau susulan pertambahan kawasan dinaiki air di sekitar Arau.
Pengarah APM Perlis, Izaimi Md Daud, berkata PPS itu yang dibuka pada 5 petang tadi menempatkan 18 orang daripada empat keluarga dari sekitar Arau.
Semalam, sebuah PPS dibuka di Masjid al-Imran, Ulu Pauh namun semua 24 mangsa daripada lapan keluarga memilih untuk berada di rumah masing-masing.
Di Sabah, jumlah mangsa banjir membabitkan daerah Beaufort kekal 134 orang daripada 46 keluarga setakat 8 malam ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa ditempatkan di PPS Dewan Selagon yang dibuka sejak Ahad lepas susulan banjir berikutan hujan lebat berterusan.
“Semua mangsa adalah dari lima kampung di Beaufort yang terjejas akibat banjir,” menurut kenyataan itu yang turut memaklumkan pemantauan masih lagi diteruskan di lokasi panas daerah berkenaan.