
Dalam kenyataan, syarikat pengimport tunggal beras negara itu berkata semua jenis beras import yang dibawa masuk ke dalam negara dibekalkan dengan sijil pengesahan kualiti dan spesifikasi beras ditetapkan kerajaan.
“Bernas sentiasa memastikan tahap pematuhan piawaian yang tinggi dan pemantauan kualiti ketat di setiap peringkat perolehan bekalan beras import dan tempatan.
“Justeru, berhubung dakwaan wujudnya ‘beras plastik’ di pasaran tempatan, Bernas memberi jaminan bahawa beras import yang dibekalkan adalah tulen dan selamat untuk penggunaan orang ramai,” katanya.
Minggu lalu, tular satu video mendakwa terdapat sisa kelihatan seperti plastik dalam nasi yang sudah dimasak.
Ia mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga maya mengenai tahap kualiti beras yang ada di pasaran tempatan.
Bernas menasihatkan orang ramai tidak mudah mempercayai berita palsu berkenaan, dan tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap pihak yang mahu menjatuhkan reputasi syarikat itu.
“Sekiranya orang ramai mempunyai pertanyaan atau mendapati wujudnya unsur mencurigakan ke atas produk beras Bernas yang dibeli, emelkan aduan rasmi di [email protected],” menurut kenyataan itu.