
Beliau berkata, sebarang keputusan terserah kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sungguhpun mengakui memang ada keperluan mengenai pengisian jawatan berkenaan.
“Saya fikir lebih baik tidak membuat spekulasi. Jangan memberi tekanan kepada perdana menteri. Pelantikan itu adalah kuasa beliau dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Kalau kita buat sebarang spekulasi dan bercakap lebih banyak, lagi lambat perdana menteri mengisi tempat ini. Kita tunggu sahaja,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Kelulusan Pendaftaran Francais dan Lesen Jualan Langsung.
Jumaat lalu, Armizan meluahkan hasratnya agar jawatan itu diisi segera, susulan ura-ura rombakan Jemaah Menteri yang bakal dibuat dalam masa terdekat.
Memangku jawatan itu sejak 30 Julai lalu susulan kematian Salahuddin Ayub, beliau mengakui komitmen tinggi diperlukan dan cabaran kepada kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup.
Armizan secara berseloroh menyebut: “ Sejak memangku, kepala saya yang sedia botak pun semakin licin. Rambut pun takut mahu tumbuh.”
Pada 27 Sep lalu, Anwar berkata beliau masih sedang memikirkan tentang rombakan Jemaah Menteri yang bakal dibuat antaranya untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Salahuddin.