Bekas peguam minta kebenaran 1MDB serah dokumen kepada SPRM

Bekas peguam minta kebenaran 1MDB serah dokumen kepada SPRM

Minggu lepas, SPRM memfailkan saman untuk memaksa Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani serta firma guaman mereka menyerahkan dokumen berkait siasatannya.

SPRM sedang menyiasat dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram berkait penyelesaian dimeterai antara kerajaan dengan Goldman Sachs berhubung 1MDB. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) telah memohon kebenaran bekas anak guamnya, 1MDB, untuk mendedahkan dokumen istimewa dan sulit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan penyelesaian dimeterai antara kerajaan dengan Goldman Sachs berhubung 1MDB.

Minggu lepas, SPRM memfailkan saman untuk memaksa Rosli Dahlan dan Chetan Jethwani serta firma guaman mereka menyerahkan beberapa dokumen berkait siasatannya.

Peguam M Puravelan, yang mewakili RDS, memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi M Muniandy bahawa anak guamnya telah memohon kebenaran daripada 1MDB semalam untuk menyerahkan dokumen terbabit kepada SPRM.

Peguam berkenaan mendedahkan surat terkandung dalam afidavit jawapan yang disahkan rakan kongsi kanan firma itu, D P Naban.

Dialamatkan kepada Pengerusi 1MDB Johan Mahmood Marican dan dikemukakan dalam afidavit Naban, surat itu dipetik media yang memetik sumber rapat dalam siasatan SPRM, mendakwa penyelesaian itu merupakan perjanjian tidak baik kepada negara selain pembabitan RDS yang didakwa terlibat skim rasuah yang menjejaskan kedudukan Malaysia.

Firm itu bagaimanapun menyebut dakwaan itu sebagai “palsu dan tidak berasas”.

RDS berkata, sikap “berdiam diri” pengerusi 1MDB yang juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, dalam perkara itu menjejaskan firmanya.

Katanya, rundingan penyelesaian telah dilaksana pasukan petugas khas 1MDB, yang mana ketika itu diterajui bekas menteri kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, termasuk wakil Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, SPRM, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.

Menurutnya, dua set peguam juga terlibat dalam rundingan berkenaan, RDS, mewakili 1MDB, dan Logan Sabapathy & Co, mewakili SC.

Katanya, siri rundingan berjalan antara 12 dan 17 Ogos 2020, bagi memuktamadkan terma kontrak. Draf perjanjian sudah dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi kelulusan.

“Mengambil kira naratif penglibatan meluas agensi kerajaan, naratif awam bahawa RDS mengawal penyelesaian (Goldman Sachs) untuk manfaat RDS sebagai pertukaran keapda rasuah adalah tidak masuk akal dan mengarut.

“Kami berharap 1MDB akan menjelaskan perkara ini kepada SPRM, yang melayan kami seperti suspek jenayah,” kata surat itu.

RDS berkata, dalam surat kepada pengerusi pasukan petugas khas 1MDB, Johari Ghani, bertarikh 30 Mac lalu, pihaknya telah memberi penjelasan menyeluruh rasional kepada perjanjian itu dan kaedah kepada penyelesaian kuantum.

Firma itu berkata, sebahagian besar dokumen istimewa dan sulit telah diserahkan kepada peguam cara semasa 1MDB, Tetuan Lim Chee Wee & Partners, namun salinan dokumen tersebut disimpan RDS.

“Kami bagaimanapun tidak dapat mendedahkan bahan dipohon kepada SPRM tanpa kebenaran 1MDB,” kata surat berkenaan.

SPRM juga sudah memfailkan saman terhadap peguam Chetan Jethwani dan Chetan & Co, yang mewakili Goldman Sachs.

SPRM berkata, pihaknya ada membuat kunjungan ke firma tersebut pada 6 Okt, namun pegawainya dihalang membuat carian dan rampasan dokumen melalui kuasa diberikan kepada agensi itu di bawah Seksyen 31(1) Akta SPRM.

Dalam pemfailan mahkamah dilihat FMT, ia berkata peguam berkenaan mengambil pendirian bahawa dokumen itu merupakan komunikasi istimewa antara anak guam dan peguam cara.

Peguam itu juga mendakwa SPRM mesti mendapatkan perintah daripada Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 46(2) Akta SPRM yang dibaca bersama dengan Seksyen 126(1) Akta Keterangan, bagi tujuan pendedahan.

Bagaimanapun, SPRM menafikan ia peruntukan itu terpakai dalam kes terbabit.

Minggu lalu, Bloomberg melaporkan bank pelaburan berpangkalan di New York, menyaman Putrajaya di Timbang Tara UK susulan “percanggahan pertikaian” berhubung penyelesaian ketika Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri dalam menyelesaikan bon USD6.5 bilion 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.