Tiada perbincangan tukar portfolio, kata Zahid

Tiada perbincangan tukar portfolio, kata Zahid

Timbalan perdana menteri memberi bayangan dijangka kekal di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah selepas timbul desas-desus mengatakan beliau akan bertukar ke Kementerian Dalam Negeri.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata tidak ada perbincangan antara beliau dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pertukaran portfolio.
PUTRAJAYA:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi memberikan bayangan bahawa beliau dijangka kekal di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajuinya kini.

Ketika berucap pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Majlis Kebajikan dan Sukan KKDW (Makspen) XIV di sini hari ini, Zahid berkata ini kerana tidak ada perbincangan diadakan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pertukaran portfolio.

“….tapi saya rasa tidak ada pertukaran kementerian kerana PM (Anwar) tidak pernah bincang pun dengan saya,” katanya.

Desas-desus mengenai rombakan Jemaah Menteri timbul antaranya melibatkan Zahid yang kini memegang portfolio menteri kemajuan desa dan wilayah, yang dikatakan akan bertukar ke Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Zahid pada 3 Okt lepas dilaporkan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi berhubung rombakan Jemaah Menteri kerana ia hak prerogatif Anwar.

Sementara itu, Zahid mahu kejohanan Makspen yang berlangsung setiap dua tahun ketika ini, diadakan lagi pada tahun hadapan.

“Kali terakhir kita adakan sukan ini ialah pada 2015 dan selepas itu tiada lagi. Dengan ini saya arahkan tahun depan wajib diadakan semula,” katanya disambut sorakan dan tepukan gemuruh peserta kejohanan.

Beliau turut mencadangkan Hari Keluarga KKDW diadakan sempena Makspen 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.