Tak mustahil lebih ramai sokong Anwar jika PN enggan runding

Tak mustahil lebih ramai sokong Anwar jika PN enggan runding

Penganalisis berkata tidak mustahil lebih ramai akan mengikut langkah Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan sekiranya isu peruntukan 'tergantung'.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional Suhaili Abdul Rahman dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim.
PETALING JAYA:
Lebih ramai Ahli Parlimen pembangkang akan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim jika pemimpin Perikatan Nasional (PN) tidak berunding dengan kerajaan bagi mendapat peruntukan sama rata untuk semua wakil rakyat, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, percaya pemeteraian suatu perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) seperti ketika pentadbiran Ismail Sabri Yaakob akan meredakan tekanan dalam kalangan PN selepas dua wakil rakyatnya menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar baru-baru ini.

Semalam, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman mengikut jejak Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang menyatakan sokongan kepada Anwar pada 12 Okt lalu, dengan masing-masing sedia berdepan tindakan daripada parti mereka.

“Ahli di bawah perlukan peruntukan tapi pimpinan tak berunding. Tidak ada kenyataan tuntas berkenaan tawaran dibuka Putrajaya kepada pembangkang,” kata Hisomudddin, dan menambah hanya PN akan terjejas jika situasi itu berlarutan.

Beliau menjangkakan tidak banyak pilihan di tangan pimpinan PN jika enggan berbincang dengan pemerintah, selain sekadar meminta wakil rakyat terbabit memberikan surat tunjuk sebab. “Ia beri tekanan kepada PN,” tegasnya.

Sementara itu, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia maklum alasan kedua-dua Ahli Parlimen PN terbabit, iaitu mengharapkan dana kerajaan untuk disalurkan ke kawasan masing-masing.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Kangsar akui beliau tidak sanggup melihat pengundi di kawasannya terbiar semata-mata perbalahan naratif politik.

“Apakah lebih ramai Ahli Parlimen Bersatu akan berbuat demikian? Itu perkara yang tidak mustahil jika lihat trend yang berlaku hari ini,” kata Mazlan kepada FMT.

Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya pula berpandangan kepimpinan PN tidak seharusnya membiarkan isu peruntukan untuk wakil rakyatnya dan perbincangan dengan kerajaan “tergantung” tanpa sebarang keputusan.

“Kalau tak diselesaikan ketua pembangkang, selagi benda itu tak berlaku selagi itulah perkara ini akan terus berlanjutan,” katanya.

“Apabila jadi wakil rakyat mereka perlu mekanisme kerajaan kerana jadi pembangkang itu sukar.”

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari, mempersoalkan keperluan berunding dengan pemerintah untuk peruntukan sama rata, beberapa hari selepas Iskandar mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.

Beliau juga mahu pemerintah nyatakan apakah matlamat rundingan itu dan syarat-syaratnya di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.