Pekebun rugi lebih RM132,000, ditipu kerja sambilan di TikTok

Pekebun rugi lebih RM132,000, ditipu kerja sambilan di TikTok

Polis berkata mangsa ditawarkan kerja sambilan untuk tugasan 'like', 'follow', dan komen di TikTok bagi mendapatkan wang.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata mangsa membuat beberapa pemindahan wang berjumlah RM132,515 kepada suspek sebelum menyedari ditipu.
KUANTAN:
Seorang pekebun mengalami kerugian berjumlah RM132,515 selepas diperdaya tawaran kerja sambilan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata pada mulanya, lelaki berusia 27 tahun itu ditawarkan bayaran sebanyak RM15 bagi tugasan “like”, “follow”, dan komen ke setiap akaun pengguna aplikasi TikTok yang diberikan kepadanya menerusi WhatsApp pada Selasa lepas.

“Mangsa melakukan tugasan yang diberikan sebelum menyertai satu kumpulan Telegram dan mendapat bayaran sebanyak RM45. Mangsa kemudiannya diminta membuat pembayaran sebanyak RM200 oleh pentadbir kumpulan aplikasi itu sebelum diberikan tugasan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata selepas membuat pembayaran dan menyelesaikan tugasan diberikan, lelaki berkenaan mendapat pulangan sebanyak RM240, yang membuatkan mangsa lebih percaya dengan suspek.

“Seterusnya, mangsa membuat beberapa transaksi bagi mendapatkan pulangan yang lebih besar menggunakan wang simpanannya dan pinjaman daripada rakan-rakan sehingga menyebabkan dia mengalami kerugian sebanyak RM132,515,” katanya.

Beliau berkata mangsa yang berasa diperdaya telah membuat laporan polis di IPD Cameron Highlands semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran kerja sambilan melalui media sosial yang menjanjikan bayaran lumayan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.