Mosti nafi lantik pihak ketiga untuk sampai maklumat dana

Mosti nafi lantik pihak ketiga untuk sampai maklumat dana

Mosti mengingatkan orang ramai berwaspada dengan hebahan yang menjanjikan perkara yang tidak tepat dan tidak munasabah.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) nafi penganjuran sebarang bengkel yang menuntut pembayaran sebanyak RM1,800, selain dijanjikan kelulusan pembiayaan. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menafikan dakwaan melantik pihak ketiga atau konsultan untuk menyampaikan sebarang informasi dan hebahan mengenai skim dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) kementerian itu kepada umum.

Mosti dalam kenyataan, memaklumkan ia menerima pertanyaan tentang kes penipuan berkaitan penganjuran Bengkel Bimbingan dan Fasilitasi Permohonan Geran Applied Innovation Fund (AIF) dan Sistem Dana Bersepadu.

Bengkel tersebut dikatakan boleh menjanjikan kelulusan pembiayaan AIF apabila menyertai bengkel yang mengenakan yuran sebanyak RM1,800.

Mosti juga memaklumkan kementerian itu tidak pernah menganjurkan sebarang bengkel yang menuntut pembayaran daripada orang awam.

Menurutnya, kejayaan sesuatu permohonan pembiayaan dana R&D Mosti tertakluk pada pematuhan syarat dan kriteria yang ditetapkan, serta syor oleh panel pakar penilai yang dilantik.

Mosti mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan hebahan yang menjanjikan perkara yang tidak tepat dan tidak munasabah, selain sentiasa menyemak maklumat terkini.

Sebarang maklumat berkaitan pembiayaan dana R&D Mosti bagi platform Sistem Dana Bersepadu di pautan sdb.mosti.gov.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.