
Ramasamy diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar ganti rugi kepada Zakir awal bulan ini selepas memihak kepada pendakwah itu dalam saman fitnahnya.
Di Facebook, bekas Adun DAP itu berkata, wang itu – yang dikumpul menerusi pendanaan awam – akan dibayar kepada peguam Zakir dan disimpan dalam akaun klien sehingga proses rayuan selesai.
“Plaintif tidak boleh ‘sentuh’ mahupun ‘dermakan’ wang (itu) untuk sebarang tujuan sehingga semua rayuan selesai! Perjuangan masih diteruskan,” kata Ramasamy, merujuk kepada Zakir yang pada 4 Nov berkata, beliau akan mendermakan wang itu untuk perjuangan Palestin.
Zakir memfailkan dua saman berasingan pada 2019, mendakwa Ramasamy telah membuat lima kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.
Menurutnya, kenyataan-kenyataan tersebut disiarkan di beberapa laman media sosial dan dilaporkan oleh beberapa portal berita antara 2016 dan 2019.
Ramasamy berkata, beliau bercadang untuk memfailkan rayuan, dan sekiranya Mahkamah Rayuan memihak kepadanya, dana yang terkumpul akan didermakan kepada mereka yang memerlukan, katanya.