Infrastruktur jalan raya, Kelantan terima peruntukan paling tinggi

Infrastruktur jalan raya, Kelantan terima peruntukan paling tinggi

Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad berkata Kelantan tidak pernah dipinggirkan daripada aspek peruntukan pembangunan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad berkata dakwaan bahawa kerajaan meminggirkan negeri pembangkang dalam Belanjawan 2024 adalah tidak benar. (Facebook pic)
KUALA LUMPUR:
Walaupun ditadbir pembangkang, Kelantan tidak pernah dipinggirkan daripada aspek peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2024 terutamanya melibatkan infrastruktur jalan, Dewan Rakyat diberitahu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad berkata daripada jumlah keseluruhan RM9.511 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Kerja Raya, Kelantan merupakan negeri yang menerima peruntukan tertinggi.

“Sebenarnya apa yang dikatakan Jelutong (RSN Rayer) kerajaan tidak anaktirikan kawasan pembangkang adalah benar. Saya katakan demikian kerana ada ahli yang berhormat ketika berbahas mengatakan Kelantan dianaktirikan dan peruntukan yang diterima sangat sedikit.

“Saya nak beritahu bahawa jika tidak termasuk Sabah dan Sarawak, Kelantan merupakan negeri yang menerima peruntukan tertinggi di Semenanjung,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat.

Terdahulu Rayer memuji Kementerian Kerja Raya dengan mengatakan tidak benar dakwaan kawasan diwakili wakil rakyat pembangkang dianaktirikan kerajaan selepas Abdul Rahman memperuntukkan banyak masa bagi menjawab soalan yang dibangkitkan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) ketika menggulung perbahasan.

Dewan Rakyat turut menjadi kecoh seketika apabila Abdul Rahman mendedahkan Che Mohamad merupakan satu-satunya wakil rakyat pembangkang yang kerap berada di bilik kelab penyokong kerajaan.

Keadaan itu mengundang beberapa Ahli Parlimen dari blok kerajaan termasuk Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) menjerit “pindah sini dan lima kosong”, merujuk kepada tindakan empat wakil rakyat PN yang berpindah tempat duduk selepas menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Che Mohamad kemudiannya bangkit menyatakan semua itu adalah fitnah semata-mata.

Dalam pada itu, Abdul Rahman juga memuji penglibatan wakil rakyat yang mengambil bahagian ketika perbahasan melibatkan kementerian itu sejak dahulu sehingga hari ini.

Penglibatan mereka dalam menyuarakan keperluan rakyat dan kawasan masing-masing menyaksikan peruntukan kepada kementerian dinaikkan sebanyak RM1.072 bilion dalam belanjawan tahun depan menjadikan jumlah yang diterima berjumlah RM9.511 bilion.

“Selain berterima kasih kepada perdana menteri, kenaikan ini juga adalah atas semangat daripada ucapan yang dibuat semua ahli yang berhormat, antara lain bagi mengelak ketidakcukupan kewangan untuk menyelesaikan keperluan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.