Dewan Negara lulus RUU pindaan LHDN

Dewan Negara lulus RUU pindaan LHDN

RUU berkenaan bertujuan meminda Akta LHDN Malaysia 1995 (Akta 533) meliputi fasal satu hingga lima.

Dewan Negara hari ini meluluskan RUU LHDN (Pindaan) 2023, dengan lebih suara bersetuju. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 (dengan pindaan pada peringkat Jawatankuasa Majlis) dengan lebih suara bersetuju.

RUU yang bertujuan meminda Akta LHDN Malaysia 1995 (Akta 533) meliputi fasal satu hingga lima, sebelum ini dibentangkan untuk bacaan kali kedua namun ditangguhkan bagi membolehkan Jawatankuasa Pilihan Khas meminda Fasal 2 seksyen 6 berhubung pelantikan serta pemberhentian wakil Sabah dan Sarawak, yang perlu dirujuk kepada ketua menteri Sabah dan premier Sarawak.

Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan yang menggulung perbahasan RUU berkenaan berkata, sewaktu beliau membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat sebelum ini, tiada perkataan berunding dengan ketua menteri Sabah dan premier Sarawak dalam perkara terbabit.

“Namun, dalam pembentangan di Dewan Rakyat, pihak Sabah dan Sarawak telah mengemukakan pandangan supaya dirujuk kepada Jawatankuasa Khas Kewangan dan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar.

“Saya telah membuat keputusan pada ketika itu supaya kita memberhentikan proses (menangguhkannya) supaya dapat dibentangkan semula selepas diperhalusi,” katanya pada sidang Dewan Negara.

Menjelaskan selanjutnya, Ahmad berkata, Kementerian Kewangan dan LHDN juga telah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Paya Besar dan memanggil beberapa Ahli Parlimen lain untuk membuat pindaan RUU itu.

“Dokumen itu telah dibawa semula ke Jemaah Menteri dan dibentangkan semula baru-baru ini. Ia diterima baik oleh Ahli Parlimen kerana kita menerima usul mereka supaya memasukkan perkataan berunding dengan ketua menteri Sabah dan premier Sarawak,” katanya.

Sidang Dewan Negara akan bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.