Sokong Anwar: Ahli Parlimen Bukit Gantang ada agenda peribadi, kata wakil PN

Sokong Anwar: Ahli Parlimen Bukit Gantang ada agenda peribadi, kata wakil PN

Awang Hashim berkata tindakan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyokong Anwar Ibrahim sebagai tidak berintegriti.

Awang Hashim membidas tindakan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen (PN-Pendang) Awang Hashim mendakwa rakan sejawatnya dari Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mempunyai agenda peribadi dalam menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan.

Menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak berintegriti, Awang berkata Syed Abu Hussin dahulu yang pernah bersama Umno keluar parti itu selepas mereka tidak lagi menjadi pemerintah ‘merayu’ dengan Muhyiddin Yassin untuk menyertai Bersatu.

“Bukit Gantang tiada integriti, dia ada masalah keluarga, sebab dia ‘merayu’ melutut kita percaya, kita terima,” kata Awang ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kewangan di Dewan Rakyat.

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudiannya bangun membantah kenyataan Awang yang bersifat sangkaan jahat terhadap Syed Abu Hussin yang ketika itu tiada di dalam dewan.

“Saya peguam, saya bangun walaupun beliau bukan ahli Parlimen blok kerajaan, ini prinsip undang-undang, kita pertahankan. Kenyataan ‘melutut’, merendahkan martabat semata-mata beliau tidak menyokong,” kata Jelutong.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor kemudiannya meminta Awang membuat penjelasan sebelum mengarahkannya menarik balik kenyataan tersebut.

“Dia mencemarkan nama kami pembangkang kami PN, berdiri nak bagi semak dan imbang kepada kerajaan tiba-tiba dia umum sokong perdana menteri kerana dibelakang ada agenda tersembunyi,” kata Awang.

Pada persidangan di sebelah pagi, Syed Abu Hussin mengumumkan menyokong Anwar dan kerajaan.

Beliau turut menyeru bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob bersama membantu Anwar dalam mentadbir kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.