Mangsa banjir di Kelantan turun, Johor bertambah

Mangsa banjir di Kelantan turun, Johor bertambah

Seramai 594 mangsa banjir masih ditempatkan di tiga PSS di Kelantan, manakala 582 orang berlindung di dua PPS di Johor Bahru setakat 8 malam tadi.

Kanak-kanak bermain air bah di Kampung Pasir, Johor Bahru hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Bachok dan Pasir Mas, Kelantan menurun kepada 594 orang daripada 181 keluarga setakat 8 malam tadi berbanding 816 mangsa daripada 241 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pasir Mas merekodkan mangsa banjir paling ramai setakat ini dengan 226 mangsa daripada 77 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh.

Di Bachok, 114 mangsa daripada 35 keluarga berada di SK Jelawat, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Beris Panchor menempatkan 254 mangsa daripada 69 keluarga.

Di Johor, jumlah mangsa banjir kilat dari lima kampung di Johor Bahru meningkat sedikit kepada 582 orang setakat 8 malam tadi berbanding 538 orang pada 12 tengah hari tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan memaklumkan, semua mangsa daripada 151 keluarga itu masih ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru dan SK Bukit Mutiara.

Seramai 312 daripada 84 keluarga dari Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau ditempatkan di SK Bukit Mutiara, manakala 270 mangsa daripada 67 keluarga dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat berada di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru.

JPBN turut memaklumkan hujan masih turun di Johor Bahru setakat 8 malam tadi.

Paras air sungai di Parit Keliling, Kampung Pasir, di tahap waspada dengan bacaan 0.08m, Sungai Siku di Kampung Murni Jaya dekat Kulai pula mencatatkan paras bahaya dengan bacaan 17.65m dan Sungai Muar di Kampung Awat di tahap waspada 8.01m.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.