Samsuri calon PM, boleh lantiknya jadi ketua pembangkang

Samsuri calon PM, boleh lantiknya jadi ketua pembangkang

Fahmi Fadzil berkata mungkin PN boleh melantiknya sebagai ketua pembangkang selepas namanya diangkat sebagai calon PM gabungan itu.

Fahmi Fadzil berkata Ahmad Samsuri Mokhtar yang menang PRK Kemaman disebut-sebut sebagai calon perdana menteri dari PN.
PETALING JAYA:
Ahmad Samsuri Mokhtar mungkin boleh dilantik sebagai ketua pembangkang di Parlimen jika naib presiden PAS itu memenuhi kriteria menjadi calon perdana menteri, kata Fahmi Fadzil.

Menteri komunikasi dan digital itu berkata demikian sebagai mengulas keyakinan Perikatan Nasional (PN) bahawa Samsuri merupakan antara calon perdana menteri gabungan itu pada masa depan.

Sebelum ini, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin tidak menolak Samsuri, yang menang PRK Kemaman semalam, mempunyai potensi menjadi calon perdana menteri, malah bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, menyatakan perkara sama.

“Mungkin selepas ini langkah seterusnya selepas beliau (Samsuri) angkat sumpah (sebagai Ahli Parlimen) ialah beliau akan dinobat sebagai ketua pembangkang.

“Jadi, kita serah kepada mereka (pembangkang) untuk buat keputusan itu.

“Kami tidak risau tetapi semestinya di pihak kerajaan akan berusaha dengan lebih gigih untuk memastikan khidmat kepada rakyat termasuk di Kemaman tidak akan terabai,” katanya menurut Astro Awani ketika menghadiri program ‘Run Hack: Scam Alert 2023’ di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ketika ini, jawatan ketua pembangkang disandang Hamzah Zainudin, yang juga setiausaha agung Bersatu.

Semalam, Samsuri mempertahankan Parlimen Kemaman dengan majoriti 37,220 undi menumpaskan calon Barisan Nasional, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.