
Beliau turut menyifatkan “saranan” veteran DAP supaya menggantikan presiden PAS sebagai tiada merit kerana tiada masalah dihadapi malahan pencapaian parti bawah kepimpinan Abdul Hadi Awang adalah terbaik jika dibandingkan era sebelumnya.
“Jika Lim berasa berhak untuk menimbulkan persoalan mengenai kepimpinan parti selain DAP, maka lebih tepat dan berfaedah jika beliau menasihati parti sekutunya Umno yang jelas semakin kehilangan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri, apatah lagi orang awam.
“Keadaan ini sepatutnya lebih membimbangkan Lim, terutamanya apabila kepimpinan Umno turut terpalit dengan kes-kes jenayah besar yang pernah ditentang oleh DAP sendiri tidak lama dulu. Sudah pastilah DAP tidak boleh berlepas tangan dan terus berdiam diri,” kata setiausaha agung PAS di Facebook.
Takiyuddin turut menasihatkan Lim memberi tumpuan kepada masalah dalaman Pakatan Harapan-Barisan Nasional serta isu kehilangan sokongan dan populariti dialami kerajaan persekutuan.
“Sebagai ahli politik veteran, tentulah Lim tidak terlepas pandang bahawa dalam PRK Kemaman, BN-PH kehilangan kira-kira 20,000 undi dimenangi mereka dalam PRU15 lepas.
“Trend ini sangat jelas dalam semua PRK diadakan selepas PRU15, baik di Terengganu, Johor mahupun Pahang,” katanya.
Sebelum ini, Lim mempersoalkan sama ada Hadi akan memberi laluan kepada Ahmad Samsuri Mokhtar memimpin PAS, susulan kemenanganya pada PRK Kemaman. Katanya, Samsuri boleh memimpin PAS yang bersifat lebih sederhana dan terbuka, serta menjadi parti menolak ucapan kebencian, penipuan, fitnah dan berita palsu.
Menjelang PRK Kemaman, Samsuri dicanang sebagai “calon perdana menteri” dan berkelayakan untuk memegang tampuk pemerintahan negara oleh dua bekas perdana menteri iaitu Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad.
Pada PRK Sabtu lalu, Samsuri menang dengan majoriti 37,220 undi menewaskan Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor daripada BN.