
Anak perempuan Hashim, 87, Husna Hashim berkata bapanya baru selesai menjalani prosedur pemasangan stent jantung.
“Prosedur stent itu dah selesai dan Alhamdulilah berjaya. Cuma jantung beliau sangat lemah dan perlu lakukan dialisis kerana masalah buah pinggang.
“Beliau mungkin kena tahan di wad untuk beberapa hari lagi sehingga keadaan kesihatan stabil. Kalau stabil InsyaAllah boleh balik,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Husna dalam hantaran di TikTok berkongsi keadaan kesihatan bapanya yang berada dalam keadaan lemah ketika dirawat di hospital.
Hashim, 87, dirawat di Hospital Tuanku Fauziah di Perlis sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang bagi menjalani rawatan lanjut.
Sementara itu, akaun Facebook rasmi Hashim dan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Tiab Azamudden juga memohon orang ramai mendoakan beliau segera sembuh.
Hashim dilantik sebagai Mursyidul Am PAS yang keempat pada 10 Okt 2016 oleh Majlis Syura Ulama PAS susulan pemergian Haron Din pada 16 Sept tahun yang sama.