Langgar, gilis rakan; bekas pemandu lori terlepas hukuman mati

Langgar, gilis rakan; bekas pemandu lori terlepas hukuman mati

Azami Mohamed didapati bersalah membunuh pesawah Rohadi Yaakob, 49, di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu, pada 6 petang 2 Okt 2014.

Mahkamah memerintahkan bapa tiga anak itu menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 2 Okt 2014.
PUTRAJAYA:
Seorang pemandu lori terlepas tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman itu dengan penjara 33 tahun dan 12 sebatan kerana membunuh rakan sekampungnya dengan melanggar dan menggilis mangsa menggunakan kereta, sembilan tahun lepas.

Hakim Besar Malaya Mohamad Zabidin Mohd Diah yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Zabariah Mohd Yusof dan Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas menggunakan kuasa budi bicara mereka bagi menggantikan hukuman mati Azami Mohamed, 49, dengan hukuman penjara.

Panel tiga hakim itu memutuskan demikian susulan pemansuhan hukuman mati mandatori berkuat kuasa 4 Julai lalu, yang membenarkan mereka memilih menjatuhkan hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun bagi menggantikan hukuman mati mandatori.

Bapa tiga anak itu turut diperintah menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap, iaitu pada 2 Okt 2014.

Ketika membacakan keputusan sebulat suara itu, Zabidin berkata tiada kesilapan dibuat Mahkamah Tinggi yang mendapati perayu bersalah atas tuduhan membunuh.

“Namun, mahkamah bersetuju dengan peguam agar perayu diberi peluang kedua. Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya hukuman penjara 33 tahun dan 12 sebatan.”

Pada 23 Nov 2022, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati selepas menolak rayuan Azami terhadap sabitan dan hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 14 Julai 2019 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Azami didapati bersalah atas kesalahan membunuh pesawah, Rohadi Yaakob, 49, di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu, pada 6 petang 2 Okt 2014.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah mahkamah perlu mengambil kira 35 kecederaan dialami mangsa di bahagian kepala dan badan, selain perayu mempunyai niat membunuh.

“Semasa kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara perayu (Azami) dan si mati, yang mana perayu berkata ‘aku akan tepuh mu (langgar mu) sampai mapuh (mampus/mati)’.

“Perayu melanggar si mati yang ketika itu menunggang motosikal, menyebabkan mangsa melambung enam hingga tujuh kaki dan jatuh atas jalan raya.”

Peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab yang mewakili perayu memohon mahkamah memberikan peluang kedua kepada anak guamnya dengan menggantikan hukuman mati dengan pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun.

“Anak guam saya mempunyai tiga anak. Sebelum ini, dia bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Dia juga tiada rekod lampau.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.