Polis temui petunjuk baharu siasatan video Agus-Wahab

Polis temui petunjuk baharu siasatan video Agus-Wahab

Ketua polis negara berkata ia susulan dakwaan Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani diganggu secara seksual di Bintulu.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kertas siasatan video bekas ketua pengarah J-Kom Mohammad Agus Yusof akan dirujuk semula kepada Pejabat Peguam Negara.
PETALING JAYA:
Kertas siasatan kes video bekas ketua pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohammad Agus Yusof, akan dirujuk semula kepada Pejabat Peguam Negara susulan polis menemui petunjuk baharu.

Ia berikutan dakwaan dibuat pembantu pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani dalam keterangan dan laporan polis di IPD Kajang, Khamis lalu, yang mendakwa diganggu secara seksual di Bintulu, Sarawak.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain, berkata kertas siasatan dihantar Jumaat lalu akan dirujuk semula selepas siasatan berhubung kejadian di Bintulu diperoleh.

“Kertas siasatan akan dirujuk semula selepas tindakan diambil berdasarkan laporan-laporan teknikal daripada agensi lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi (Telco).

“Hala tuju siasatan adalah sama iaitu mencari kebenaran dan keadilan bagi kedua-dua pihak walaupun terdapat kertas siasatan lain di Bintulu,” katanya menurut Berita Harian.

Razarudin berkata, kertas siasatan berhubung situasi di Bintulu dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan dan Seksyen 377D Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan kelucahan melampau di tempat awam.

Wahab sebelum ini membuat laporan dia diganggu secara seksual oleh Agus di sebuah hotel di Bintulu pada 21 Okt.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.