
Anwar berkata beliau menyokong titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.
“Bagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang salah faham, pihak bukan Islam boleh menulis surat kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
“Ini bagi meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab,” katanya dalam satu kenyataan.
Sultan Selangor semalam, minta orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.
Baginda memberi peringatan itu susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam.
Ngeh ketika mencadangkan pelantikan itu menjelaskan ia agar jawatankuasa tersebut dapat mengambil kira pandangan orang bukan Islam supaya hak dan perlindungan yang diberikan Perlembagaan tidak terjejas.
Jawatankuasa itu bertanggungjawab mengkaji isu-isu melibatkan bidang kuasa Persekutuan dan negeri, khususnya berkaitan kompetensi DUN mengenai penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa mahkamah, sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.
Bagaimanapun, cadangan pemimpin DAP itu mendapat bantahan keras daripada pemimpin Umno dan pembangkang yang menganggap Ngeh cuba mencampuri urusan hal ehwal Islam.
Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook berkata cadangan Ngeh itu suatu kekhilafan, dan partinya menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor selaku pengerusi MKI dalam membuat keputusan.