Kemuka dokumen palsu, ketua Wanita Bersatu Terengganu didenda RM5,000

Kemuka dokumen palsu, ketua Wanita Bersatu Terengganu didenda RM5,000

Roslilawati Mukhtar mengaku salah terhadap pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan program 'Back To School' pada 2020.

Roslilawati Mukhtar dijatuhi hukuman denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas mengaku bersalah mengemukakan dokumen palsu. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Ketua Wanita Bersatu Terengganu, Roslilawati Mukhtar, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan program “Back To School” pada 2020.

Sinar Harian melaporkan pengerusi Pertubuhan Komuniti Gemilang Terengganu berusia 45 tahun itu membuat pengakuan di depan Hakim Mohd Azhar Othman selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Dia didakwa dengan curangnya menggunakan sebagai tulen suatu dokumen, iaitu senarai nama 100 orang program “Back To School” bertarikh 17 Dis 2020 berjumlah RM5,000 yang mana tertuduh tahu dokumen itu palsu.

Roslilawati didakwa berbuat demikian di Ketengah Holding Sdn Bhd, Dungun pada 2020.

Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau dua bulan penjara, jika gagal membayar denda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.