PAS boleh jadi parti moden, silap samakan dengan Taliban, kata Dr Sam

PAS boleh jadi parti moden, silap samakan dengan Taliban, kata Dr Sam

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata PAS bukan lagi parti kampung dan telah melangkah jauh.

Ahmad Samsuri berkata PAS kini disokong ahli dan penyokong terdiri dari pelbagai latar belakang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
PAS berpotensi menjadi parti Islam moden dan relevan untuk diterima ramai, kata naib presidennya Ahmad Samsuri Mokhtar, sambil menegaskan tindakan menyamakannya dengan Taliban sebagai satu kesilapan.

Menteri besar Terengganu itu juga menafikan tanggapan PAS sebagai ekstremis seperti parti lain di dunia , seperti cuba digambarkan segelintir pihak namun hakikatnya mereka memahami struktur masyarakat terdiri daripada pelbagai kaum.

Menurutnya, keadaan itu memberi perkembangan positif kepada PAS yang telah menjadi relevan dan boleh diterima masyarakat.

“PAS mempunyai potensi menjadi sebuah parti Islam yang moden. Menyamakan parti PAS dengan Taliban dan yang seumpamanya merupakan satu kesilapan,” katanya di Facebook.

Beliau juga menegaskan PAS bukan lagi parti kampung dan telah melangkah jauh, merujuk kepada perkembangan politik tanah air beberapa tahun kebelakangan ini.

“PAS juga bukanlah sebuah parti sempurna tetapi kami mempunyai ahli dan penyokong terdiri dari pelbagai latar belakang,” katanya.

Kumpulan itu kata Samsuri termasuk golongan teknokrat yang sebelum ini ramai beranggapan tidak berada dalam PAS.

“Sebenarnya dalam PAS, kita mempunyai ramai ahli datang dari pelbagai bidang dan latar belakang. Namun kebanyakan daripada mereka tidak menonjol ke depan, sebaliknya amat berperanan di belakang tabir dan terlibat dalam menyusun atur strategi untuk PAS terus bergerak ke hadapan.

“Saya salah seorang yang pernah menjadi sebahagian daripada mereka sebelum diketengahkan sebagai calon pada PRN 2018,” kata bekas ketua jabatan aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.