AI Untuk Rakyat: Penjawat awam kena lengkap pembelajaran ‘online’ 4 jam

AI Untuk Rakyat: Penjawat awam kena lengkap pembelajaran ‘online’ 4 jam

Langkah itu bagi meningkatkan pencapaian inisiatif pendigitalan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dalam surat edaran berkata, laporan penyertaan program AI Untuk Rakyat perlu dikemuka kepada Kementerian Ekonomi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran AI Untuk Rakyat, sebagai langkah memastikan peningkatan kesedaran mereka terhadap penggunaan teknologi termaju.

Program AI itu melibatkan pembelajaran secara dalam talian selama empat jam dan penjawat awam dikehendaki melengkapkan program pembelajaran itu bagi memperoleh lencana ‘AI Aware’ dan ‘AI Appreciate’.

Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran “Pelaksanaan program ‘AI Untuk Rakyat’ Dalam Kalangan Penjawat Awam’ bertarikh 17 Jan 2024 ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Menurut surat edaran berkenaan, perkara itu terpakai untuk semua penjawat awam di peringkat kementerian, jabatan, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan; Pihak Berkuasa Berkanun Negeri, dan pihak berkuasa tempatan.

“Penglibatan penjawat awam dalam Program AI Untuk Rakyat dilihat berupaya meningkatkan pencapaian pelaksanaan inisiatif pendigitalan oleh kerajaan dalam perkhidmatan awam,” menurut surat edaran dilaporkan Bernama.

“Laporan penyertaan program AI Untuk Rakyat di peringkat organisasi masing-masing hendaklah dikemukakan kepada Kementerian Ekonomi melalui e-mel [email protected].

“Sesalinan laporan itu juga hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui e-mel [email protected],” menurut surat edaran itu.

Berdasarkan surat yang dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi JPA hari ini itu, program AI boleh dicapai menerusi portal AI Untuk Rakyat melalui pautan www.ai.gov.my.

Surat edaran itu juga menyatakan sebarang pertanyaan mengenai penggunaan portal AI Untuk Rakyat boleh dikemukakan terus kepada pihak MyDIGITAL Corporation (MYDC) yang akan memberikan maklum balas sewajarnya terhadap setiap pertanyaan pengguna menerusi alamat e-mel [email protected] seperti yang tertera dalam portal itu atau e-mel [email protected] atau menghubungi talian 03-88618282.

Selasa lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan program AI Untuk Rakyat dan menyasarkan sejuta pengguna menjelang akhir tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.