Tampar, ketuk dahi bayi; pengasuh didenda RM10,000

Tampar, ketuk dahi bayi; pengasuh didenda RM10,000

Wanita berusia 42 itu turut diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam.

Tertuduh, Norliza Osman, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan bayi lelaki pada 2 Jan lalu.
PETALING JAYA:
Pengasuh didenda RM10,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menampar dan mengetuk dahi bayi lelaki berusia 11 bulan.

Tertuduh, Norliza Osman, 42, mengaku melakukan perbuatan itu di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali, sehingga menyebabkan kecederaan kepada bayi tersebut di sebuah kediaman di Putrajaya, awal bulan ini.

Dengan pengakuan bersalah, Siti Aminah juga mengarahkan wanita itu berkelakuan baik dengan bon jaminan berjumlah RM3,000 selama tiga tahun.

Ibu kepada dua anak itu turut diperintah melakukan khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan, bermula hari ini, lapor Harian Metro.

Mengikut pertuduhan, Norliza sebagai orang yang dipertanggungjawabkan menjaga seorang bayi lelaki didapati menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan di sebuah kediaman di Presint 9, Putrajaya, antara 10 pagi hingga 12 tengah hari, 2 Jan.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai perubatan Hospital Putrajaya menerima pesakit iaitu bayi berkenaan yang dibawa ibu bapanya untuk rawatan.

Doktor mendapati bayi berkenaan mempunyai kecederaan lebam dan calar di dahi, pipi, dan telinga kanan akibat didera.

Tertuduh kemudian mengaku menampar dan mengetuk dahi dan pipi sekuatnya di hadapan ibu bapa bayi berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latif memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Norliza yang tidak diwakili peguam merayu tidak dihukum penjara kerana mempunyai anak masih bersekolah dan kurang upaya serta perlu menguruskan kehidupan seharian mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.