
Bekas menteri kewangan mendakwa, Malaysia kini berada bawah “kerajaan yang menyalahgunakan kuasa dan mengkhianati semua janji reformasi”.
“Musang berbulu ayam melaungkan reformasi tetapi melakukan sebaliknya.
“Saya tidak kisah dengan nasib saya sekarang. Biarlah Anwar melemparkan segala-galanya kepada saya, tetapi saya bimbang nasib negara ini,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Terdahulu, Daim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan harta.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mengisytiharkan pemilikan dalam 38 syarikat, 19 bidang tanah di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Kedah dan di sini, serta enam hartanah.
Daim juga didakwa gagal mengisytiharkan pemilikan akaun Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Berhad dan tujuh kereta mewah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 13 Dis 2023, jika disabitkan beliau boleh dipenjara hingga lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000.
Sementara itu, Daim berkata integriti dan tadbir urus baik sudah “terpesong”, mendakwa institusi bebas seperti SPRM, Jabatan Peguam Negara dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijadikan “alat untuk mengejar musuh politik”.
“Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman digunakan sewenang-wenang terhadap mereka yang lantang bersuara dan mengkritik kerajaan atau Anwar.
“Adakah ini Malaysia baharu yang dijanjikan?” soalnya.
Daim turut menggesa orang ramai menentang Anwar dan rejimnya, dengan menyatakan kerajaan bertanggungjawab kepada rakyat, bukan sebaliknya.