2 beradik maut, 2 parah kemalangan di Kota Tinggi

2 beradik maut, 2 parah kemalangan di Kota Tinggi

Kemalangan di Jalan Kota Tinggi ke Penawar itu membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan Toyota Hilux.

Bomba berkata dua mangsa tersepit dalam kereta Proton Wira yang remuk dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. (Gambar JBPM)
JOHOR BAHRU:
Dua beradik maut manakala dua lagi cedera parah termasuk seorang kanak-kanak lelaki lima tahun dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Kota Tinggi ke Penawar berhampiran Felda Air Tawar 3, dekat Kota Tinggi, pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba Kota Tinggi Mohd Syukri Mohd Yusof berkata dua mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai, Mohamad Syahriel Aiman Darwis, 22, dan Nurul Saidatul Akmar Darwis, 36, yang tersepit di dalam kereta Proton Wira. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Dua lagi mangsa yang berada di dalam kereta yang sama iaitu Rukiah Mohd Alwee, 61, dan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, dipercayai ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia itu, cedera parah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata menerima panggilan kecemasan pada kira-kira 10.33 pagi melibatkan kemalangan kenderaan jenis Toyota Hilux dan Proton Wira membabitkan lima mangsa dan mengerahkan sebuah jentera bersama tujuh anggota ke tempat kejadian.

Syukri berkata warga emas dan kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi manakala pemandu Toyota Hilux, Suano Jamarin, 57, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi tersebut tamat pada 11.55 pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.