‘Black Friday’, PAS anggap keputusan mahkamah bahaya undang-undang syariah

‘Black Friday’, PAS anggap keputusan mahkamah bahaya undang-undang syariah

Susulan keputusan Mahkamah Persekutuan batal 16 peruntukan enakmen syariah Kelantan PAS mahu semua pihak memastikan undang-undang Islam dipertahan.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mendakwa keputusan Mahkamah Persekutuan akan mengundang bahaya bagi undang-undang syariah di negeri lain.
PUTRAJAYA:
Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 sebagai sejarah hitam buat umat Islam dan negara.

Beliau mendakwa, keputusan itu akan mengundang bahaya bagi undang-undang syariah di negeri lain.

“Kita amat sedih… ini ‘black Friday’. Jumaat yang hitam kepada undang-undang syariah Islam. Bila satu undang-undang jenayah syariah sesuatu negeri dibatalkan, bermakna undang-undang ini di 14 negeri lain dalam keadaan amat bahaya dan kritikal.

“Mana-mana orang katakanlah di Negeri Sembilan atau di Melaka dituduh kesalahan contohnya liwat, dia akan bawa kes ini ke mahkamah ini dan beritahu kes di Kelantan kesalahan yang sama dibatalkan.

“Jadi tidak ada orang boleh dituduh di Mahkamah Syariah atas kesalahan syariah itu. Ini bukan perkara kecil, mempertahankan syariah bermakna (mempertahankan) institusi raja-raja Melayu,” katanya pada sidang media di pekarangan Istana Kehakiman.

Terdahulu, dalam ucapan di hadapan lebih 1,000 penyokong di pekarangan Istana Kehakiman, Ahli Parlimen Kota Bharu berkata keputusan hari ini perlu dijadikan iktibar kepada umat Islam dan berharap semua pihak termasuk kerajaan memastikan undang-undang Islam dipertahankan.

Takiyuddin turut mempersoalkan apabila undang-undang Mahkamah Syariah dibatalkan mahkamah sivil.

“Bila undang-undang syariah diguna di Mahkamah Syariah dibatalkan mahkamah sivil apa maknannya? Itulah kedudukan kita, Islam agama Persekutuan tetapi di negeri, undang-undang syariah dibatalkan mahkamah sivil.

“Empat belas negeri ada enakmen jenayah syariah masing-masing jadi bayangkan kalau Kelantan dibatalkan, kita sebagai umat Islam perlu buat keputusan memastikan undang-undang syariah dipertahan sehingga akhirat,” katanya.

Dalam keputusannya, Mahkamah Persekutuan berkata 16 peruntukan  dalam enakmen itu bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Tengku Maimun berkata, kes itu bukan bertujuan menggugat agama Islam atau Mahkamah Syariah tetapi semata-mata untuk mempersoalkan sama ada sebuah DUN boleh meluluskan undang-undang tanpa melampaui kuasa diberikan kepadanya oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Mahkamah syariah tidak ‘dikuburkan’ seperti yang didakwa oleh (peguam) Yusfarizal Yussoff,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Gerakan Selamat Syariah, Mohd Zai Mustafa, berkata pihaknya akan menggerakan usaha menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Selangor selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

“Kami tidak akan berputus asa dan akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menghantar memorandum kepada Agong. Kami harap umat Islam seluruh negara berdoa supaya Islam terus dilindungi kerana perkara ini melangkaui parti politik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.