Jangan ambil mudah usaha PAS, PN tawan Selangor, PH-BN diberitahu

Jangan ambil mudah usaha PAS, PN tawan Selangor, PH-BN diberitahu

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Yahya Sahri berkata, PH dan BN perlu menunaikan semua janjinya kerana ia akan dinilai rakyat pada PRU16.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Yahya Sahri berkata, pemimpin PH dan BN Selangor perlu meningkatkan kerjasama bagi mematahkan naratif lawan membuat persepsi negatif yang dapat mempengaruhi pengundi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR mengingatkan kerajaan perpaduan di Selangor tidak mengambil mudah usaha PAS dan Perikatan Nasional (PN) merampas negeri itu pada PRU16.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Yahya Mat Sahri berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor perlu meningkatkan kerjasama bagi mematahkan naratif lawan membuat persepsi negatif yang dapat mempengaruhi pengundi.

“PH dan BN dalam kerajaan perpaduan perlu duduk bersama menjiwai perpaduan sebelum pilihan raya, keserasian kerjasama itu perlu digerakkan daripada kepimpinan negeri, Parlimen, DUN dan kampung.

“Sekiranya usaha ini berjaya, sudah tentulah ia akan memberi kekuatan kepada kerajaan perpaduan mempertahankan Selangor,” katanya kepada FMT.

Sebagai parti pemerintah di Selangor, beliau berkata, PH dan BN juga perlu menunaikan semua janjinya kerana ia akan dinilai rakyat yang akan mengundi pada PRU16.

Ahad lalu, Ketua Penerangan PAS Selangor, Zurk Ahmad dilaporkan berkata, parti itu berharap slogan “PAS for All” yang dibawanya dua dekad lalu akan membantu mereka merampas negeri itu daripada gabungan pemerintah.

Namun, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menolak cita-cita PAS merampas negeri itu pada PRU16, sambil memetik cubaan BN yang gagal dulu.

Katanya, BN yang kini menganggotai kerajaan perpaduan mempunyai cita-cita sama sebelum ini.

Ketua PH Selangor itu dilaporkan berkata, kini terserah kepada PH untuk terus berusaha bagi memastikan ia dapat mempertahankan negeri itu pada PRU16.

Yahya yang juga setiausaha pengelola PKR Selangor berkata, mana-mana parti berhak memasang cita-cita.

“Cuma pada pandangan saya, PAS kena lihat dan pengundi juga kena lihat dari sudut perbandingan cara pengurusan ditunjukkan kerajaan perpaduan Selangor di bawah kepimpinan Amirudin dan negeri ditadbir PAS, termasuk dari segi ekonomi dan perniagaan, mana lebih baik.”

Pada PRN Ogos lalu, PN memenangi menang 22 DUN, sekali gus menafikan majoriti dua pertiga PH dan BN yang menguasai 34 daripada 56 kerusi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.