
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Ali berkata, perkara berkaitan kenaikan SST dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan.
“Perkara berkaitan kenaikan SST memang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dipengerusikan timbalan perdana menteri kira-kira dua minggu lepas … ada satu kertas khusus untuk kita lihat kesan dan impaknya.
“…dan insya-Allah perkara dibangkitkan Yang Berhormat Ayer Hitam kami akan bawa untuk dikaji dan bawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan berhubung cadangan yang dibangkitkan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) supaya bil air dan elektrik dikecualikan daripada kenaikan SST, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Armizan berkata, melalui Naccol juga, kerajaan memastikan setiap penggubalan dasar dan program yang dilaksanakan melalui kementerian dan agensi akan mempertimbangkan elemen kos sara hidup.
Selain penggubalan dasar dan program utama merentasi pelbagai kementerian, strategi dan pendekatan intervensi dan mitigasi juga dilaksanakan dalam menangani pelbagai isu berkaitan kos sara hidup, termasuk menggalakkan penglibatan pelbagai pemegang taruh, katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM58.1 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk subsidi, insentif dan bantuan dalam menangani pelbagai isu dan kesan berkaitan kos sara hidup rakyat.
Inisiatif yang dilaksanakan melalui peruntukan tersebut tidak termasuk yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak lain seperti badan korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan badan bukan kerajaan serta kerajaan negeri, katanya.
Antara inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan adalah seperti Program Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani; Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara); Inisiatif FlySiswa dan Skim Harga Diskaun Tiket Musim Perayaan; Program MyLesen (B2, PSV, E DAN GDL); Pas Bulanan Tanpa Had My50; dan Skim Perubatan Madani.
“Senarai inisiatif keseluruhan akan dipaparkan melalui Portal Ihsan Madani yang akan dilancarkan pada 20 Mac 2024,” katanya menjawab soalan asal Dr Richard Rapu (GPS-Betong) yang ingin tahu sejauh mana inisiatif Naccol berjaya mencapai objektif menangani kos sara hidup rakyat serta jenis inisiatif tersebut.
Sementara itu, menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai peranan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dalam Naccol, Armizan berkata, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu ialah ketua Task Force Pemantauan Kepada Kluster Makanan.