Rafidah dakwa hantaran ‘pesara dikeluarkan dari IJN’ di Facebook disekat

Rafidah dakwa hantaran ‘pesara dikeluarkan dari IJN’ di Facebook disekat

Hantaran dibuat Rafidah Aziz itu tidak dapat diakses pengguna Facebook di Malaysia.

Rafidah Aziz meminta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan kesalahannya sehingga hantarannya di Facebook disekat dalam negara.
PETALING JAYA:
Bekas menteri Rafidah Aziz mendakwa hantarannya di Facebook yang mengkritik tindakan mengeluarkan pesakit terdiri pesara dan penjawat awam dari Institut Jantung Negara (IJN) telah disekat di Malaysia.

Menurutnya, hantaran dibuat tiga hari lepas tidak dapat dilihat oleh pengguna media sosial dalam Malaysia, namun boleh diakses di luar negara.

“Saya kecewa kerana tidak lagi boleh menyiarkan pandangan yang menjejaskan rakyat, dalam kes ini pesara.

“Kami bercakap demu masyarakat dan Malaysia tanpa agenda politik,” katanya di Facebook.

Sehubungan itu, menteri perdagangan antarabangsa dan industri era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad itu meminta Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan kesalahan sehingga hantarannya disekat dalam negara.

Facebook dalam maklum balasnya kepada Rafidah menjelaskan sekatan itu dibuat selepas mendapat arahan undang-undang daripada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

FMT telah menghubungi SKMM untuk mendapatkan ulasan berhubung dakwaan itu.

Baru-baru ini, Rafidah mempersoalkan tindakan mengeluarkan pesakit terdiri pesara dan penjawat awam dari IJN, sambil menegaskan rawatan pakar itu sebahagian pakej persaraan untuk kakitangan kerajaan telah pencen.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pesara berkenaan yang “telah berkhidmat demi negara untuk sebahagian besar hidup mereka” kini perlu mendapat rawatan di klinik kerajaan.

Kritikannya itu susulan laporan portal kesihatan Code Blue, memetik kenyataan seorang pesara yang terkejut kerana dimaklumkan akan dikeluarkan dari IJN walaupun menerima rawatan lanjut selama 25 tahun.

Pesara itu berkata beliau dimaklumkan IJN mengikut arahan Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam maklum balasnya, KKM menafikan laporan itu dan menjelaskan pesakit hanya dikeluarkan dari IJN apabila keadaan mereka stabil, dengan tempoh pemantauan sekurangnya enam bulan hingga setahun bagi dewasa dan setahun hingga dua tahun bagi kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.