
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, berkata walaupun kenaikan SST bermula 1 Mac difahami, terdapat pelbagai cara untuk kerajaan memberi tekanan terhadap peniaga mencatut, termasuk sentiasa melaksanakan pemantauan.
Katanya, penting juga menghidupkan semula aktivisme pengguna.
“Pengguna mesti menjadi mata dan telinga, lapor kenaikan tidak munasabah kepada kerajaan,” kata presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

“Pengguna dan NGO juga boleh berkongsi maklumat dengan orang awam melibatkan perbuatan menyeleweng (peniaga tidak bertanggungjawab).”
Beliau mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, Putrajaya memantau peniaga mengambil kesempatan mencatut selepas kenaikan SST kepada 8% daripada 6%.
Semalam, Armizan berkata pegawai kementeriannya akan mengenakan tindakan tegas jika kenaikan harga tidak munasabah dan tidak sejajar perundangan pencatutan.
Katanya, pihak berkuasa juga akan memantau sektor tidak terjejas dengan kenaikan SST seperti makanan dan minuman.
Tubuh suruhanjaya harga
Sementara itu, pakar percukaian Veerinderjeet Singh mencadangkan penubuhan suruhanjaya harga seperti dilakukan di negara maju, berfungsi sebagai mekanisme mengekalkan amalan penetapan harga adil dalam pasaran dan mempromosikan kebajikan pengguna.

Katanya, suruhanjaya itu perlu dianggotai ahli ekonomi, akauntan dan kumpulan pengguna, termasuk wakil Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Peranan utamanya adalah kawal selia harga berdasarkan pelbagai faktor seperti kos pengeluaran, keadaan pasaran dan permintaan pengguna. Ia juga menguatkuasakan undang-undang berkait harga menerusi pendekatan seperti pengeluaran amaran, denda atau penalti kepada perniagaan didapati melanggar peraturan harga.
Beliau berkata, suruhanjaya dicadangkan itu juga berperanan menasihati pembuat dasar untuk mengekalkan kestabilan harga dan melindungi pengguna daripada tekanan inflasi.
“Mekanisme untuk suruhanjaya ini perlu mudah, di mana mereka membuat keputusan sama ada harga itu wajar atau tidak dalam tempoh kurang dua minggu.”