KPKT bincang dengan Selangor, P Pinang terima pakai akta urus sisa

KPKT bincang dengan Selangor, P Pinang terima pakai akta urus sisa

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata jika berhasil dua negeri itu akan menyertai tujuh negeri lain menerima pakai akta berkenaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming melancarkan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti PPR @ Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh, Perak. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan sedang melakukan rundingan secara aktif dengan Selangor dan Pulau Pinang dalam usaha agar negeri terbabit menandatangani Perjanjian Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata jika berhasil, kedua-dua negeri akan menyertai tujuh negeri lain yang menerima pakai akta berkenaan.

“Selangor sendiri secara prinsip telah menyatakan persetujuan di mana saya sendiri telah menghadap ke bawah duli Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) telah berkenan menerima pakai Akta 672.

“Kita hanya menunggu keputusan MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) untuk kita bincang secara terperinci dengan Selangor,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Kemampanan Komuniti Bandar (PKKB): Karnival Komuniti PPR @ Rumah Pangsa Jalan Hospital.

Nga berkata, setakat ini tujuh negeri menerima pakai Akta 672 manakala lima negeri lagi iaitu Kelantan, Terengganu, Perak, Selangor dan Pulau Pinang belum menandatangani perjanjian tersebut.

Akta 672 bermatlamat memastikan keseragaman undang-undang dalam pengawalan dan pengawalseliaan perkara berhubung pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.

Sementara itu, Nga berkata kerajaan akan terus melakukan libat urus secara berhemah dengan negeri yang belum menerima pakai akta tersebut.

“Pintu kami sentiasa terbuka, Perak sebagai contoh negeri paling banyak PBT (pihak berkuasa tempatan) di Semenanjung, ada 15 PBT, kita hormati keputusan kerajaan negeri (tidak terima pakai Akta 672) tetapi kita sentiasa alu-alukan (terima pakai), rundingan akan terus kita jalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Nga berkata KPKT menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan mewujudkan 130 Pusat Pandu Lalu Kitar Semula (DRTC) di seluruh negara bawah Program Komuniti Sifar Sisa (Kosis).

Setakat ini katanya 74 DRTC berjaya diwujudkan di seluruh negara dan pihaknya menyasarkan untuk mewujudkan sebanyak 130 DRTC menjelang hujung tahun ini.

Mengulas mengenai DRTC yang dilancarkan di PPR Rumah Pangsa Jalan Hospital pagi ini, langkah itu bertujuan memudahkan komuniti setempat menghantar sisa kitar semula yang diasingkan dari rumah masing-masing.

Beliau berkata, menerusi inisiatif Kosis di PPR itu, sebanyak lebih 33,000kg barang kitar semula, 4,500kg minyak masak dan 6,200kg sisa makanan dengan nilai RM23,500 direkodkan dari 2020 hingga Disember lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.