Pemecatan terancang, syarikat diarah bayar bekas pengurus lebih RM543,000

Pemecatan terancang, syarikat diarah bayar bekas pengurus lebih RM543,000

Chempro Technology didapati secara tidak adil mengagihkan semula pelanggan utama kakitangannya, menyebabkan kehilangan 70% pendapatan.

Mahkamah Perindustrian mengarahkan Chempro Technology Sdn Bhd membayar balik gaji Chew Chee Siong sebanyak RM16,986 sebulan selama 24 bulan, berserta pampasan berjumlah RM135,888. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Sebuah syarikat kimia diarahkan membayar pampasan sebanyak RM543,552 kepada seorang bekas pengurus bahagiannya selepas beliau didapati dipecat tanpa sebab atau alasan empat tahun lepas.

Mahkamah Perusahaan memutuskan bahawa Chempro Technology Sdn Bhd memecat Chew Chee Siong secara terancang selepas gajinya berkurangan 70% apabila pelanggannya diagihkan semula kepada kakitangan lain.

Pengerusi mahkamah Augustine Anthony memerintahkan syarikat itu membayar balik gaji Chew sebanyak RM16,986 sebulan selama 24 bulan, berserta pampasan sebagai ganti pengembalian semula pekerjaannya bersamaan dengan gaji lapan bulan, berjumlah RM135,888.

Pengiraan itu berdasarkan gaji bulanan asas terakhir Chew sebanyak RM5,350, dan purata komisen bulanan sebanyak RM11,636.

Augustine berkata, pengagihan semula akaun pelanggan, yang sebelum itu dikendalikan oleh Chew dan menyebabkan beliau memperoleh komisen yang besar, dilakukan secara tidak adil, mengakibatkan pengurangan 70% gaji kasarnya.

“Mahkamah mendapati pengagihan semula akaun (pelanggan), yang menyebabkan pihak menuntut (Chew) mengalami pengurangan dalam komisen jualan yang merupakan sebahagian daripada gajinya, dilakukan secara sewenang-wenangnya dan tidak adil,” kata Anthony dalam award bertarikh 18 Mac yang dilihat oleh FMT.

Pengerusi mahkamah turut mendapati Chempro gagal melibatkan Chew dalam sebarang perbincangan sebelum akaun-akaun pelanggan tersebut diagihkan semula, sebaliknya hanya memaklumkan kepadanya tentang perkara itu melalui e-mel.

Berikutan itu, Chew menghantar e-mel kepada pengurusan syarikat, membantah tindakan itu yang mengurangkan pendapatan bulanannya dengan ketara.

Beliau memberikan notis memaklumkan bahawa beliau akan menganggap perkhidmatannya ditamatkan sekiranya akaun-akaun pelanggan itu tidak dikembalikan kepada portfolionya.

“Oleh sebab tiada maklum balas daripada syarikat, (Chew) menghantar surat (bertarikh 15 Mei 2020) menganggap dirinya dipecat secara terancang,” kata Augustine.

Chempro berhujah bahawa pihaknya mempunyai hak dan budi bicara mutlak untuk mengagihkan semula pelanggan dalam kalangan kakitangannya, seperti yang diamalkan dari semasa ke semasa. Tindakan ini bukan bermaksud memecat Chew, sebaliknya beliau sendiri yang meletak jawatan, tambahnya.

Namun begitu, Augustine berkata, syarikat hanya berhak mengagihkan semula pelanggan sekiranya ia perlu dilakukan.

“Ini bermaksud mesti ada kewajaran bagi tindakan Chempro mengagihkan semula pelanggan (Chew) kepada kakitangan lain, terutamanya apabila pihak syarikat sedar sepenuhnya bahawa (tindakan itu) akan menyebabkan (Chew) kehilangan komisen dan akan mengganggu perancangan kewangan peribadinya.

“Syarikat tidak boleh datang ke mahkamah ini, yang menekankan prinsip kesaksamaan dan kemurnian hati nurani, dan dengan acuh tak acuh berkata ia mempunyai budi bicara untuk melayan pekerja dengan cara tertentu tanpa perlu mewajarkan budi bicaranya.”

Augustine berkata, tindakan syarikat itu menjanjikan ganjaran kewangan yang begitu banyak hasil kerja keras Chew, namun kemudian merampasnya selepas beliau berusaha sedaya upaya meningkatkan jualan, bukan sahaja tidak konsisten dengan terma penting dalam kontraknya, malah mengkhianati janji-janji yang dibuat kepadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.