
Perintah reman tiga hari hingga esok terhadap semua suspek dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Putrajaya, Nurul Farhana Mohd Najib pada Ahad.
Sumber berkata, suspek utama iaitu lelaki berusia 50-an disyaki menerima suapan berjumlah kira-kira RM100,000 secara tunai pada 23 Mac lalu di Shah Alam, bagi melindungi aktiviti yang merupakan kesalahan bawah Akta Kastam 1967.
“Hasil penahanan ke atas suspek utama, SPRM turut menyerbu kediamannya di Klang, dan menemui sejumlah wang bernilai RM100,000 dipercayai sebahagian daripada hasil suapan itu.
“Suspek utama ditahan di Klang kelmarin, manakala suspek kedua dan ketiga yang merupakan orang awam ditahan pada hari sama di ibu pejabat SPRM Putrajaya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Zainul Darus, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Siasatan lanjut giat dijalankan bagi mengesan bukti dan dalang lain terlibat,” katanya.