Buru hantaran provokatif isu stoking kalimah Allah

Buru hantaran provokatif isu stoking kalimah Allah

SKMM menasihatkan orang ramai tidak membuat hantaran berunsur 3R (kaum, agama, raja) berkait kontroversi stoking tertera kalimah Allah.

SKMM tidak akan berkompromi dengan mereka yang menyebarkan kandungan provokatif. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dengan polis untuk menjejaki pemilik akaun media sosial yang membuat hantaran provokatif berunsur 3R (kaum, agama, raja) berkait kontroversi stoking tertera kalimah Allah.

SKMM dalam kenyataan berkata pihaknya akan membawa pihak yang terlibat ke muka pengadilan.

“SKMM mengingatkan semua pihak untuk menghentikan hantaran provokasi dan elak daripada menulis komen-komen yang bersifat provokatif dan 3R di media sosial.

“SKMM tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan sebarang penyebaran kandungan provokatif melampau di media sosial,” menurut agensi yang berautoriti terhadap salah laku di internet dan media sosial.

KK Mart diselubungi kontroversi selepas beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah yang ditemui di sebuah cawangan kedai serbaneka itu tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan orang Islam serta desakan boikot oleh Pemuda Umno.

Syarikat itu sudah memohon maaf dan menyatakan kekesalan berhubung insiden tersebut.

Rabu lalu, pengasas KK Mart, Chai Kee Kan, dan isterinya, Loh Siew Mui, yang juga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam di atas pertuduhan sengaja melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.

Turut didakwa tiga pengarah syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd kerana bersubahat dengan membekalkan stoking terbabit.

Dalam pada itu, SKMM berkata ada peningkatan ketara kandungan memudaratkan di media sosial apabila 27,115 kandungan diturunkan pada dua bulan pertama tahun ini, berbanding 35,490 kandungan sepanjang tahun lalu.

“Kandungan memudaratkan termasuklah ucapan berbaur kebencian, scam, penjualan haram, perjudian dan berita palsu,” kata SKMM yang menegaskan kandungan sedemikian mengundang ancaman kepada corak sosial negara.

Sementara itu, sejumlah 2,004 kandungan melibatkan ucapan berbaur kebencian dan menyentuh aspek 3R yang berpotensi mencetuskan keganasan dan diskriminasi telah diturunkan sejak Januari tahun lalu hingga kini.

“Sementara itu, sejumlah 479 kandungan provokasi dan 3R telah diturunkan sejak 13 Mac hingga kini,” menurut SKMM.

SKMM berkata sebarang perkongsian kandungan bersifat jelik dan mengancam adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.