
Mahkamah tertinggi berkata demikian dalam mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memberikan ganti rugi kira-kira RM600,000 kepada bekas pelajar yang mengalami kerosakan telinga kekal akibat dibuli lima pelajar senior.
“Sekolah dalam apa jua persekitaran adalah untuk pembelajaran, di mana seseorang dididik dalam banyak disiplin dan mata pelajaran, melatih mereka memikul tanggungjawab dan membuat pilihan hidup,” kata Hakim Mary Lim dalam penghakiman 20 muka surat dikeluarkan minggu lalu.
Lim yang akan bersara bulan depan berkata tempoh kanak-kanak di sekolah adalah penting bagi pembentukan personaliti dan sikap.
Bekas pelajar yang kini berusia 22 tahun, menyaman lima bekas pelajar Tingkatan 5 itu yang kini berusia 26 tahun, kerana berulang kali menendang dan menamparnya.
Kejadian itu menyebabkan mangsa yang berada di Tingkatan 2 pecah gegendang telinga dan tidak boleh lagi melakukan aktiviti air.
Mangsa juga mengalami kemurungan akibat buli dan akhirnya berpindah ke sekolah lain pada Julai 2015.
Dalam penghakimannya pada September 2019, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Zainal Azman mendapati pihak sekolah cuai dalam membenarkan buli berlaku di asrama pengawas. Beliau memerintahkan sembilan defendan membayar RM616,634.20 kepada plaintif.
Bagaimanapun, pada 20 Mei 2021, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan memutuskan plaintif gagal membuktikan liabiliti lima pelajar senior itu, sekali gus mendapati defendan lain tidak bertanggungjawab atas kejadian tersebut.
Oktober lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan disertai oleh Lim dan Hakim Abdul Karim Abdul Jalil mendengar rayuan bekas pelajar itu.
Lim berkata, rayuan itu membabitkan kejadian serangan paling malang di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, sebuah sekolah berasrama di Kuala Terengganu, sembilan tahun lalu.
Beliau berkata, tiada sebab yang boleh difikirkan Mahkamah Rayuan untuk mengganggu keputusan Mahkamah Tinggi berhubung alat bantuan pendengaran untuk perayu.
“Keperluan untuk bantuan sedemikian pastinya ada dan banyak bukti untuk menyokong tuntutan perayu bagi menggantikan bantuan ini dari semasa ke semasa.”
Mahkamah tertinggi juga menganugerahkan kos RM150,000 lagi kepada perayu.
Lim berkata, terdapat bukti yang mencukupi untuk membuktikan semua lima defendan yang dinamakan dalam saman itu menyerang dan memukul perayu.
“Semua bukti telah dinilai oleh hakim bicara dan (mahkamah) berpuas hati atas imbangan kebarangkalian bahawa kes perayu telah dibuktikan. Penemuan hakim adalah betul berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya.
Lim berkata, buli atau serangan itu boleh diramalkan secara munasabah, bertentangan dengan pendirian yang diambil oleh Mahkamah Rayuan.
Defendan lain yang dinamakan dalam saman itu ialah Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Sulaiman Gharif, diikuti bekas pengetua sekolah itu Meriam Jusoh, ketua pengarah pendidikan dan kerajaan Malaysia.