
Daripada jumlah itu, seramai 43 banduan terdiri 39 lelaki dan empat wanita adalah tahanan di Penjara Kajang dan Penjara Wanita Kajang.
Timbalan Komisioner Jeneral (Pemasyarakatan) Penjara, Ibrisam Abdul Rahman, berkata mereka dibebaskan dengan Perintah Tahanan Rumah melalui PBSL (TR-PBSL).
“Sempena Aidilfitri kali ini, mereka akan berada dan tinggal bersama keluarga, ada juga bersama majikan, NGO dan rumah perantaraan,” katanya dalam sidang media di Penjara Kajang.
Ibrisam berkata, PBSL adalah salah satu komitmen Jabatan Penjara yang bukan sahaja untuk memberi peluang kepada banduan menyambut perayaan bersama keluarga tetapi membuka ruang bagi mereka mendapatkan pekerjaan.
“Dalam proses pemulihan dalam komuniti ini kita wajibkan mereka bekerja supaya ada pendapatan. Sama ada terus bekerja dengan majikan sedia ada, atau dengan majikan baru, yang penting survival mereka, kehidupan semula yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata, bagi program hari ini empat majikan daripada pelbagai industri sudi mengambil kira-kira 10 banduan atau Orang Bebas Berlesen (OBB) bekerja di syarikat mereka.
Sementara itu, bapa kepada empat cahaya mata yang ditahan atas kesalahan dadah tidak menyangka diberi peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga selepas dipilih sebagai salah seorang OBB.
Zani, 34, juga berterima kasih kepada isterinya yang sanggup mengorbankan kerjaya untuk menjaga anak mereka sepanjang tiga bulan dia dipenjara.
“Bila dah tiada depan mata (keluarga), saya sering memikirkan mereka dan mungkin boleh gila (ketika dipenjara). Terima kasih dengan peluang ini dan saya berjanji untuk berubah,” katanya.
Seorang lagi banduan hanya mahu dikenali Kimi, 25, berkata dipilih sebagai salah seorang OBB adalah kejutan buatnya selepas tujuh bulan berada di penjara.
Anak kedua daripada lima beradik berkata, dia menggunakan peluang kedua itu untuk berubah serta membina semula masa depan yang dulu hancur akibat terjebak dadah seawal usia 15 tahun.
“Saya nak cari kerja dan bina hidup baru, saya nak berubah dan ingin membantu keluarga,” katanya.