
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Perikanan Wan Aznan Abdullah berkata, sampel air dan kupang di perairan tersebut dicemari biotoksin serta alga berbahaya, terdiri daripada spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia.
“Faktor cuaca panas juga antara punca alga ini membiak dengan cepat dalam perairan tersebut namun ia tidak menjejaskan hidupan laut lain seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya,” katanya pada sidang media.
“Kita menasihatkan orang ramai supaya tidak makan kupang dalam tempoh 20 hari. Selepas musim perayaan ini kita akan ambil lagi sampel untuk diuji, sebelum membuat pengesahan bahawa kupang di sini selamat untuk dimakan.”
Wan Aznan berkata, Jabatan Perikanan akan meneruskan pemantauan dengan pengujian secara berkala mengikut prosedur ditetapkan sehingga kepadatan sel dalam air berkurangan dan biotoksin dalam isi kupang tidak lagi dikesan.
Katanya, kerjasama dengan anggota penguatkuasaan seperti polis dan polis marin di perairan di sini bertujuan memastikan tiada tangkapan serta jualan kerang-kerangan di daerah ini.
“Pengusaha kupang berdaftar di sini adalah di Pasir Panjang dengan 40 penternak termasuk yang tidak berdaftar,” katanya.
“Kupang sedia ada dalam perairan itu tidak perlu dilupuskan, ia akan ‘neutralise’ sendiri, kecuali kupang yang sudah dituai dan dijual di pasar yang perlu dihapuskan.”
Beliau berkata, sampel air turut diambil di perairan Melaka dan Johor namun didapati selamat, dengan alga itu tidak dikesan hadir mahupun membiak.
Pada Selasa, Jabatan Kesihatan negeri memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan kupang. Seorang mangsa keracunan masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson.