Penjaga tokong mengaku tak salah rogol akauntan

Penjaga tokong mengaku tak salah rogol akauntan

Ong Poh Sun, 57, didakwa merogol wanita berusia 27 tahun itu di dalam sebuah tokong di Arau pada 29 Mac lepas.

Seorang penjaga tokong, Ong Poh Sun, 57, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Arau hari ini atas pertuduhan merogol seorang akauntan wanita.
KANGAR:
Seorang penjaga tokong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang akauntan wanita di Arau hujung Mac lepas.

Ong Poh Sun, 57, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Musyiri Peet selepas seorang jurubahasa membacakan pertuduhan kepadanya dalam Bahasa Mandarin.

Lelaki itu dituduh merogol wanita berusia 27 tahun di dalam sebuah tokong di Kampung Guar Paya di Arau kira-kira 3 petang pada 29 Mac lepas.

Berikutan itu dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan sekiranya didapati bersalah.

Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dia diperintahkan melaporkan diri di balai polis terdekat sebulan sekali, dan tidak boleh menghampiri serta mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alia Suzila Chek Pi manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurul Hanani Che Nor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.