3 warga asing maut akibat nahas jalan raya

3 warga asing maut akibat nahas jalan raya

MPV dinaiki mangsa terbabas akibat tayar pecah sebelum dirempuh sebuah lori.

MPV dinaiki mangsa dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Cameron Highlands. (Gambar PDRM)
KAMPAR:
Tiga warga Bangladesh maut manakala seorang cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabas akibat tayar pecah sebelum dirempuh sebuah lori tanpa muatan, di Kilometer 306.1 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan.

Ketua Polis Kampar, Mohamad Nazri Daud, dalam kenyataan berkata dalam kejadian 1.49 tengah hari itu Abdullah Mohammad, Ali Askar, serta Md Sohel Miah maut di tempat kejadian.

Pemandu MPV terbabit, Md Kobir Hossain, 32, bersama tiga lagi penumpang iaitu Md Saiful Islam, 25, Md Raju Miah, 27, dan Sohel Rana, 30, tidak mengalami kecederaan; sementara Mohammad Sohel, 24, mengalami kecederaan di perut, kepala serta tangan kiri.

Semua mereka merupakan pekerja kebun di Cameron Highlands kecuali Abdullah yang tidak diketahui pekerjaannya.

Siasatan awal mendapati semua penumpang berkenaan dalam perjalanan dari Cameron Highlands menghala ke Kuala Lumpur, namun sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar belakang bahagian kiri pecah sebelum terbabas dan merempuh penghadang besi di sebelah kiri.

Nazri berkata kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di bahagian kiri jalan sebelum masuk semula ke lorong kiri.

“Lori yang melalui arah sama tidak sempat mengelak sebelum merempuh kereta terbabit dari arah belakang,”katanya.

Pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan. Semua mangsa yang cedera di bawa ke Hospital Tapah untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.