MIC akan bantu kempen PRK Kuala Kubu Baharu, kata Anwar

MIC akan bantu kempen PRK Kuala Kubu Baharu, kata Anwar

Perdana menteri berkata Presiden MIC, SA Vigneswaran menghubunginya dan memaklumkan akan membantu di PRK itu.

Anwar Ibrahim berkata laporan mendakwa MIC tidak akan turun padang dan berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu tidak benar. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim berkata MIC akan turun padang dan berkempen membantu calon kerajaan perpaduan pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Katanya, laporan mendakwa MIC tidak akan beri kerjasama di PRK itu jika ditandingi calon bukan daripada Barisan Nasional (BN) adalah tidak tepat.

“Presiden MIC (SA Vigneswaran) hubungi saya, dia kata akan tolong di Kuala Kubu Baharu.

“Vigneswaran sebut, tak betul laporan kata takkan beri kerjasama,” katanya kepada media dalam Konvensyen 25 Tahun PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong daripada DAP pada 21 Mac lalu akibat barah.

Pada 22 Mac, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata pihaknya tidak akan menuntut kerusi Kuala Kubu Baharu, sebaliknya memberi laluan kepada rakan parti penyandang dalam kerajaan perpaduan iaitu DAP.

Bagaimanapun, Vigneswaran baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata parti itu tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Baharu kerana tidak ditandingi calon BN.

Satu lagi parti komponen BN, MCA juga dilaporkan mengikut jejak langkah MIC apabila mengumumkan tidak akan berkempen pada PRK itu.

Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jumaat lalu menjelang PRK 11 Mei ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.