Gaji penjawat awam naik lebih 13%

Gaji penjawat awam naik lebih 13%

Perdana menteri berkata kenaikan bermula Disember ini paling tinggi pernah dicatatkan berbanding sebelumnya.

Penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13% bermula 1 Dis ini.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13% bermula 1 Dis ini.

Katanya, kenaikan itu paling tinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara berbanding sebelum ini.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13% dan tahun ini saya akan umum kenaikan itu lebih tinggi daripada 13%.

“Kita akan laksanakan kenaikan mulai 1 Dis tahun ini sebab saya sudah berjanji,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Anwar berkata, dengan kenaikan itu pendapatan minimum penjawat awam termasuk gaji dan elaun tetap perlu melebihi RM2,000 sebulan.

Beliau mengakui jumlah pendapatan menyeluruh paling minimum diterima ketika ini iaitu RM1,765 tidak munasabah.

“Oleh itu tahun ini penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kita gunakan kriteria dan ukuran baharu iaitu pendapatan menyeluruh termasuk gaji dan elaun tetap mesti lebih daripada RM2,000,” katanya memaklumkan kenaikan gaji penjawat awam akan melibatkan impak kewangan negara melebihi RM10 bilion.

Perdana menteri menjelaskan kenaikan gaji kepada penjawat awam tertentu bagaimanapun boleh dikecualikan jika tidak menunjukkan prestasi membanggakan.

“Kalau rekod pekerjaannya tak membanggakan…malas, sering lambat dan tidak beri tumpuan yang baik, tidak layak diberi ganjaran (kenaikan gaji) seperti dijanjikan kerajaan.

“Ini tanggungjawab kita bersama baik persatuan, rakan di jabatan untuk pastikan dua, tiga orang yang lembab ini biar dia kekal di jawatan selama-lamanya,” katanya.

Anwar berharap dengan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam, pihak swasta juga mencontohi langkah kerajaan dengan menaikkan pendapatan pekerja mereka.

“Ini sebagai langkah permulaan pihak swasta meningkatkan gaji pekerja. Ada syarikat besar yang mencatat keuntungan berganda daripada produktiviti. Apa salahnya kalau syarikat untung berjuta bagilah sedikit, beberapa ratus (kenaikan) kepada pekerja,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.