
Anwar juga menolak kebimbangan cadangan itu tidak akan diluluskan di Parlimen dan bertanya siapakah Ahli Parlimen yang akan membantah kenaikan gaji untuk penjawat awam.
Katanya, ramai pemimpin kanan dalam kerajaan perpaduan akan menyokong penuh rancangan itu.
“Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor juga memberi sokongan penuh.
“Jadi jangan bimbang, isya-Allah, Parlimen akan meluluskan keputusan ini supaya ia dapat dilaksanakan pada 1 Dis ini,” katanya dalam ucapan di Majlis Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri.
Semalam, Anwar berkata kenaikan itu paling tinggi diterima penjawat awam, berbanding sebelum ini.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, kenaikan itu akan dilaksanakan bermula Disember ini dengan lebih RM10 bilion diperuntukkan bagi tujuan itu.
Katanya, dengan kenaikan itu pendapatan minimum penjawat awam termasuk gaji dan elaun tetap akan melebihi RM2,000 sebulan berbanding RM1,795 ketika ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Machang daripada Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kenaikan gaji itu belum tentu diluluskan di Dewan Rakyat.