
Sejak 15 tahun lalu, pemegang ijazah sarjana bidang kaunseling dan ijazah sarjana muda bahasa Melayu dari Universiti Malaya (UM) itu giat menjelajah ke sekitar Lembah Klang memenuhi permintaan perkhidmatan tuisyen di rumah.
Malah, ada pelajar sejauh dari Tanjung Malim, Perak, sanggup ke Kuala Lumpur setiap hujung minggu untuk menuntut ilmu dengan Prakash di mana kelas diadakan di perpustakaan di UM.
Di sebalik kekurangannya, guru buta berusia 42 tahun itu berjaya membantu setiap pelajar Tingkatan 1 hingga 6 dan tiada yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu serta Sejarah diajarnya.
Berkongsi kepada FMT, Prakash sebenarnya tidak sengaja menceburi bidang itu dan hanya menyedari bakat mendidik ketika bekerja di unit kaunseling sebuah NGO, – tawaran kerja diterima selepas melalui 200 temu duga pekerjaan serta dua tahun menganggur.
“Di sana ramai yang gagal subjek Bahasa Melayu, bermula dari situ saya sedia perkhidmatan tuisyen secara separuh masa sebelum berhenti kerja…buat sepenuh masa,” katanya yang berhijrah ke Kuala Lumpur untuk belajar di sekolah menengah pendidikan khas di Setapak.
Prakash berkata, jarak atau pengangkutan tidak menjadi masalah buatnya untuk ke tempat pelajar namun cabaran utama mendapatkan kepercayaan daripada ibu bapa yang sangsi apabila melihat keadaannya.

“Mereka tanya bagaimana saya mengajar? Ada yang datang tengok dan pergi selepas berpuas hati,” katanya menjelaskan keraguan itu terpadam selepas melihat keputusan pelajarnya yang tidak pernah gagal.
“Apabila mereka tengok keputusan, tak cakap apa dah,” katanya yang banyak bergantung kepada teknologi untuk memudahkan proses pembelajaran.
Antara perisian digunakan Prakash termasuk Job Access With Speech (JAWS) yang berfungsi sebagai pembaca skrin, digunakannya untuk membuat nota dan memeriksa tugasan pelajar.
Melihat kemampuannya berkongsi ilmu dengan ‘golongan celik’ selama 15 tahun, Prakash ternyata berpuas hati lebih-lebih lagi dapat menyangkal stigma negatif masyarakat yang sering menggambarkan orang buta hanya layak menjadi pengemis atau penjual tisu.
Sementara itu, pelajar Tingkatan 6, A Tharsika, 20, berkata kesabaran yang ada pada Prakash membuatkan sesiapa sahaja berasa selesa untuk menuntut ilmu dengannya.
“Mudah faham bila beliau ajar, tak pernah marah sekali pun jika soalan mudah gagal dijawab.
“Memang ada orang tanya bagaimana beliau ajar kerana disebabkan kekurangannya, tetapi saya tidak kisah kerana percaya kita tidak perlu melihat kepada luaran semata-mata untuk menilai kemampuan,” katanya.