
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusoff Mamat berkata suspek berusia 57 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis pada hari ini selepas tamat tempoh reman dua hari.
“Suspek akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat selepas siasatan selesai mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis juga telah selesai merakam keterangan guru berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat IPK Kelantan.
Beliau berkata jika sabit kesalahan, pemandu boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000, serta hilang kelayakan lesen memandu.
Dalam kejadian pada 1.50 tengah hari itu, mangsa Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas dipercayai dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu guru wanita terbabit.
Ketua Polis Kota Bharu Mohd Azmir Damiri dilaporkan berkata siasatan awal mendapati pemandu kereta berkenaan dipercayai tersalah menekan pedal minyak sebelum terbabas merempuh mangsa.
Kejadian itu turut mengakibatkan seorang lagi pelajar cedera parah dan sedang dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.