Bangkit tadbir urus, bukan retorik jika mahu menang Selangor, PN diberitahu

Bangkit tadbir urus, bukan retorik jika mahu menang Selangor, PN diberitahu

Penganalisis berpendapat sasaran Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menawan Selangor pada PRU16 dilihat sukar kini.

Perikatan Nasional
Perikatan Nasional setakat ini menguasai enam kawasan Parlimen dan 22 DUN di Selangor.
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) perlu lebih banyak membangkitkan isu tadbir urus, bukannya semata-mata mengharapkan retorik perkauman jika mahu menawan Selangor pada PRU16 seperti disasarkan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, kata penganalisis politik.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata kemenangan di kerusi campuran dan bandar menjadi kunci utama di mana pengundi di kawasan terbabit kurang cenderung kepada kempen menggunakan isu agama dan kaum.

“PN (juga) perlu penerimaan pengundi Cina terhadap kawasan ditandingi lebih-lebih lagi di kawasan campuran.

“Pendekatan yang selalu menggunakan etnik dan agama tidak selamanya diterima termasuk pengundi Melayu khususnya ‘moderate’ (sederhana) di kawasan bandar yang dapat menilai situasi politik sebenar,” katanya kepada FMT.

Pada 26 Mei lalu, media melaporkan kenyataan Tuan Ibrahim bahawa parti itu dan meletakkan sasaran utama untuk menawan Selangor, Perak dan Pahang pada PRU16.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata susulan itu gerak kerja parti perlu disusun untuk menterjemahkan kemenangan seperti di Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis.

Pada PRU15, PN menang di enam daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.

PN turut menafikan majoriti dua pertiga kerajaan PH-BN dengan mencatatkan kemenangan di 22 kerusi pada PRN Selangor, Ogos tahun lalu.

Namun Ahli Parlimen Tanjong Karang Dr Zulkafperi Hanapi bertindak menyokong pentadbiran Anwar Ibrahim manakala Adun Selat Klang Abdul Rashid Asari mengalih sokongan kepada Menteri Besar Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata PN mungkin menjadikan sasaran Selangor kerana merasakan mampu menguasai negeri lain dan Putrajaya pada masa depan.

“Jika menguasai negeri maju bermakna PN lebih mudah menguasai pentadbiran lain kerana ada sumber pengaruh politik besar,” katanya.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata PAS sedar bukan mudah menawan Selangor seperti Kedah, Kelantan Terengganu dan Perlis yang ramai pengundi Melayu.

“Di Selangor lebih seimbang dan mentaliti orang Melayu berbeza daripada empat negeri yang PAS tadbir ketika ini.

“PAS memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu dan PRK Kuala Kubu Baharu menunjukkan sikap pengundi tak banyak berubah terhadap PAS yang dikatakan retorik dan ekstrem,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.