
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, isu dana persatuan tidak mencukupi sering dibangkitkan setiap kali sesi pertemuan dengan pertubuhan belia dan ia antara cabaran kementerian itu sejak dahulu.
“Berdasarkan pengalaman, sentiasa ada cabaran terutama nak tampung perbelanjaan sampai ke peringkat daerah, sentiasa akan rasa tidak cukup, sentiasa nak lebih banyak (peruntukan). Cabarannya juga bagaimana nak pastikan setiap perbelanjaan ada impak tinggi dengan perbelanjaan yang minimum?
“Jadi, persatuan perlulah kreatif dan manfaatkan setiap sumber bukan kewangan, termasuk sumber manusia, bakat dan akses serta jaringan di daerah masing-masing,” katanya selepas sesi dialog bersama belia sempena Program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) di sini, semalam.
Menurutnya, belia juga boleh meneroka pelbagai dana yang bukan saja ditawarkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), malah di kementerian lain, sekiranya bersesuaian.
“Kita kena tingkatkan kesedaran dan promosi sebab golongan belia ini akan cari KBS saja, kena promosikan juga dana yang wujud dalam kementerian lain agar mereka memanfaatkannya.”
Sementara itu, beliau berkata, KBS menerima banyak input positif sepanjang sesi Kembara JOM, yang merupakan platform bagi mendapatkan maklum balas serta pandangan terhadap Pelan Transisi Kepimpinan Belia dalam negara, sejak dilancarkan di Melaka Februari lalu.
“Setiap input yang kita peroleh dalam kembara ini akan didokumentasikan dan buat laporan lengkap…Dengan pendekatan ini juga, kita dapat bantu pertubuhan belia aktifkan pergerakan mereka di peringkat daerah dan sedikit sebanyak proses transisi,” katanya sambil menambah input juga boleh dijadikan panduan untuk merancang program masa depan dan dasar belia.
Kembara JOM dilancarkan untuk pemegang taruh belia menyampaikan maklum balas serta pandangan terhadap draf pelan secara terus kepada kepimpinan tertinggi KBS yang akan digunakan untuk memuktamadkan pelan bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).