Akan kerja lebih pantas, cekap baiki kedudukan negara, tegas PM

Akan kerja lebih pantas, cekap baiki kedudukan negara, tegas PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata laporan IMD bagi tahun 2023 itu berdasarkan beberapa maklumat daripada 2022, dan beberapa perkara telah dibaiki.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pentadbirannya mempertimbangkan beberapa teguran yang dibangkitkan dalam laporan IMD.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan akan bekerja dengan lebih pantas dan cekap, selepas kedudukan Malaysia dalam World Competitiveness Ranking jatuh ke tempat ke-34.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perkara ini dibincangkan Jemaah Menteri semalam.

“Semua akan bekerja lebih pantas dan cekap,” katanya kepada pemberita mengenai kedudukan daya saing dunia terbitan International Institute for Management Development (IMD), selepas pelancaran ESG Positive Impact Consortium.

Anwar menjelaskan bahawa laporan IMD bagi tahun 2023 itu berdasarkan beberapa maklumat daripada 2022, dan beberapa perkara telah dibaiki.

Katanya, kritikan keras pada tahun lalu ialah kerajaan gagal melaksanakan penyasaran subsidi, “tapi itu kami telah baiki”.

Kelemahan ringgit turut dibangkitkan namun “sekarang suku tahun ini sudah meningkat”.

“Kita ambil pertimbangan beberapa teguran,” kata perdana menteri.

Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Abdul Aziz, dilapor berkata ringgit lemah dan perbelanjaan subsidi melebihi peruntukan kewangan yang ditetapkan awal menyumbang kepada penurunan ranking negara.

Selain itu, kejatuhan nilai eksport rentetan perdagangan global yang turut merudum, terutama sektor elektrik dan elektronik, juga menyumbang kepada penurunan.

Tahun lepas, Malaysia berada pada kedudukan ke-27 daripada 67 negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.