‘Paling cekap dalam dunia Dr M seorang’, Saifuddin bidas kritikan

‘Paling cekap dalam dunia Dr M seorang’, Saifuddin bidas kritikan

Bekas perdana menteri dalam temu bual FMT mendakwa Jemaah Menteri Anwar Ibrahim kurang cekap dalam pentadbiran.

saifuddin nasution n madey
Menteri Saifuddin Nasution Ismail membidas kritikan Dr Mahathir Mohamad terhadap Jemaah Menteri Anwar Ibrahim, yang menurutnya ramai tiada pengalaman mencukupi dalam kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail membidas kritikan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran Jemaah Menteri Anwar Ibrahim.

Mahathir, yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 dan kemudian 2018 hingga 2020, berkata dalam temu bual dengan FMT bahawa Jemaah Menteri Anwar Ibrahim kurang cekap dalam pentadbiran dengan ramai tiada pengalaman mencukupi dalam kerajaan.

“Saya setuju sebab yang paling cekap dalam dunia ini adalah Mahathir seorang. Saya setuju sepenuhnya,” jawab Saifuddin ringkas pada sidang media di Maktab Polis, Cheras.

Saifuddin merupakan anggota Jemaah Menteri ke-20 yang dipimpin Mahathir, dengan menggalas portfolio perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Terdahulu, Mahathir menyifatkan Jemaah Menteri Anwar merangkumi anggota  yang disifatkan sebagai ‘ahli politik baik tetapi bukan pentadbir baik’, mengambil contoh peningkatan cukai perkhidmatan dan penyasaran subsidi diesel yang menurutnya patut dilaksanakan secara beransur-ansur bagi mengurangkan gangguan terhadap rantaian bekalan dan pengguna.

Sementara itu, mengulas perkembangan lain, Saifuddin berkata Kementerian Dalam Negeri menyasarkan kedudukan lebih baik dalam laporan tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, KDN menggariskan tiga perkara bagi mencapai sasaran ‘Tier 1’ itu.

“Tiga perkara digariskan dalam usaha untuk mencapai ‘Tier’ 1 iaitu ‘capacity building’, yang kedua ialah kerjasama antara agensi dan ketiga, mengekalkan indikator penilaian selain menambah baik perundangan.

“Dengan peningkatan tahap ini, kita tiada lagi kerisauan mengenai sekatan pasaran produk yang dihasilkan industri perladangan,” katanya.

Malaysia naik ke ‘Tier 2’ dalam laporan tahunan TIP AS, satu tahap lebih tinggi berbanding tahun lalu. Kali terakhir Malaysia di ‘Tier 2’ ialah pada 2017, kedudukan tertinggi pernah dicapai negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.